Lajnah penerangan dan dakwah adalah sebuah lajnah yang sangat penting dalam PAS. Ianya boleh disifatkan sebagai lidah utama parti kerana apabila mana-mana ahli yang diamanahkan ke jawatan ketua penerangan ini, maka secara automatik dia menjadi CEO akhbar rasmi PAS Harakah .
Menyorot kembali jatuh bangunnya lajnah ini dalam PAS sepanjang 10 tahun sebelum ini, memerlukan satu penghisbahan.
Ketika Almarhum Ustaz Fadhil Noor melantik Ustaz Omar Mohammad sebagai Ketua Penerangan bagi sesi sekitar tahun 90-an, harapannya amat tinggi kerana beliau adalah exco kerajaan Kelantan. Harapan tersebut tidak kesampaian apabila lajnah penerangan kelihatan pejal dan statik.
Beliau seolah-olah dilihat sebagai Ketua Penerangan PAS Kelantan semata-mata, turun dan bertemu dengan pengundi Kelantan sahaja dan lupa bahawa tugasnya sepatutnya melampaui sempadan Kelantan dan kawasan Perupuk
Namun, selepas Muktamar PAS Pusat 2001-2003, Ustaz Azizan Razak dilantik mengepalai Lajnah Penerangan dan Dakwah, sekaligus menakhodai akbar Harakah . Namun harapan tinggal harapan apabila kerja penerangan hanya berkisar sekadar berita di Harakah dan sesuku muka surat tulisan beliau didalamnya.
Ahli bawahan masih menagih suara dan ayat-ayat semangat beliau untuk turun bersama ahli dan rakyat marhean. Mungkin kerana kereta Mercedesnya yang dibeli dari pengarah urusan Harakah tidak sudi untuk menjejak habuk dan lumpur di kawasan pedalaman negara.
Ketika sesi beliaulah, kerajaan Barisan Nasional (BN) bertindak mengharamkan tradisi demokrasi negara iaitu 'hak bersuara'. Ceramah umum dihalang dan disekat, gerakan penerangan parti seakan diserang angin ahmar. Ahli pada ketika itu mengharapkan kepimpian PAS membuat sesuatu ketetapan dan tindakan. Pemidato seperti Dr Hatta Ramli, Mohamad Sabu, Ustaz Nasarudin Mat Isa pernah di bawa ke balai polis kerana mempertahan hak ini.
Rata-rata ahli meneropong ke mana perginya ketua penerangan PAS pusat yang sepatutnya mendepani isu ini. Beliau seperti kehilangan roh ketika parti dan ahli bertempur dengan pihak keselamatan dan sibuk dengan 'kepesuruhjayaannya' di Kedah sahaja.
Teraju PAS diambil alih oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 2003-2005 selepas pemergian Ustaz Fadhil Noor. Muktamar yang penuh kehangatan itu telah membariskan saf baru yang dilihat dapat mengimbangi kepimpinan dahulu, di antara ulama dan golongan profesional. Datuk Dr Harun Din dilantik menjadi Ketua Penerang PAS pusat setelah beliau menarik diri daripada bertanding sebarang jawatan dalam muktamar tersebut.
Satu harapan baru telah diberikan oleh ahli terhadap beliau. Imej beliau sebagai ulama berstatus profesional, dilihat dapat membawa perubahan kepada perjalanan penerangan parti dan pengendalian Harakah amnya. Majlis ceramah menjadi medan utama beliau menjalankan tugasnya. Kakitangan Harakah menjadi bersemangat apabila mendapat ketua baru, pertemuan demi pertemuan dianjurkan di antara kakitangan dengannya.
Lajnah Penerangan dan Dakwah juga mula mengorak langkah dengan mengadakan pertemuan dengan ketua penerangan negeri dan ketua dewan-dewan. Tetapi sayang seribu kali saying, segala perancangan, pertemuan dan harapan ahli sekali lagi berderai apabila Datuk Dr Harun Din sering gagal memenuhi jemputan dan perancangan ahli.
Kegagalannya bukanlah disengajakan tetapi disebabkan oleh masalah kesihatan beliau. Datuk Harun Din yang telah tiga kali menjalani rawatan kesihatannya, telah menghadkan penglibatanya sebagai ketua penerangan.
Maka, sudah tiba masanya bagi PAS dan ahlinya untuk berani berubah dengan mengingatkan pucuk kepimpinan mengenai peri pentingnya lajnah penerangan ini. Ahli PAS tidak perlu kepada imej hebat pemimpin mereka. Ahli PAS perlu mengambil asas gerakan penerangan, iaitu mempertahankan prinsip demokrasi 'hak bersuara' yang menjadi alat penerangan PAS untuk menyampaikan mesejnya kepada ahli dan rakyat.
Kesanggupan pemimpin bersama ahli bawahan juga adalah satu faktor utama. Cabaran penerangan pada masa akan datang sangat tinggi yang memerlukan pemimpin yang bertenaga dan mempunyai semangat waja.
Maka di sinilah seorang insan bernama Mohammad Sabu dilihat sebagai pemimpin 'akar umbi' yang sering mendapat tempat di hati ahli bawahan. Kepetahan beliau berceramah, telah memukau ahli-ahli atas pagar untuk bersama PAS. Beliau sering dilihat turun ke bawah tanpa mengira penat dan lelah untuk menyampaikan maklumat parti dan berita semasa yang berkaitan dengan rakyat. Kehebatan beliau untuk mengupas isu-isu semasa, menjadikan beliau sesuai untuk kerja penerangan parti
Kenyataan Mohammad Sabu dalam wawancara di laman marhen baru-baru ini bahawa beliau sanggup mati demi mempertahan demokrasi PAS, adalah satu semangat yang perlu dicontohi bersama. PAS sebagai gerakan yang menjadikan penerangan sebagai asas gerak kerjanya, memerlukan pemimpin seperti Mohammad Sabu. Kesediaannya untuk mempertahankan prinsip demokrasi ketika ditahan semasa berceramah, juga menjadi kekuatan buat lajnah penerangan di peringkat kawasan, untuk terus mengembangkan aktiviti ceramah ini.
Oleh itu saya menyeru kepada ahli-ahli PAS di peringkat cawangan, kawasan, hatta peminpin tertinggi parti, supaya mendesak Tuan Guru Presiden PAS untuk mengembalikan kegemilangan Penerangan PAS dengan melantik Haji Mohammad Sabu sebagai Ketua Penerangan PAS yang baru.
