Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah naungan Ketua Pengarah Datuk Rosnani Ibrahim sebenarnya gagal menjadi penjaga kepada alam sekitar di negara ini. Utusan Malaysia pernah melaporkan di muka depan di bawah tajuk 'Semuanya tidak berlaku' , di mana JAS menafikan segala dakwaan terhadap isu-isu hangat yang menjadi perhatian umum masakini.

Antaranya ialah isu kematian pegawai penyiasat JAS Sarawak, Rumie Azzan Malie, yang dikatakan 'terjun' membunuh diri dari bangunan pejabat. Hakikatnya, punca kematiannya diragui kerana beliau dikatakan memiliki bukti kukuh mengenai pengimportan sisa toksik ke negara ini. Kematian anak muda berhemah tinggi ini dengan terjun dari bangunan pejabat dengan tidak semena-mena ini, memang sukar diterima akal.

Selain itu, akhbar berbahasa Melayu ini juga melaporkan pelbagai penafian bersama yang dibuat oleh Rosnani dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan. Ianya mengenai isu JAS melepaskan lori yang membawa sisa toksik di Ipoh, dan isu penyimpanan sisa toksik sebesar padang bola di Pasir Gudang, Johor.

Siapa tidak arif dengan 'kebijaksanaan' bapak menteri dan pegawai tinggi kerajaan memberi alasan dan berdolak dalik dalam sesuatu isu bagi menyelamatkan diri?

Bagi menjelaskan sikap sebenar JAS, saya ingin membangkitkan isu mengenai pencemaran air Sungai Langat yang menjadi sumber minuman kepada ratusan ribu wargakota. Perkara ini pernah dilaporkan oleh media sekitar hujung tahun 1990-an dahulu.

Saya masih ingat dalam satu laporan akhbar The Sun, di mana isu pencemaran air minuman ini dibangkitkan dalam satu sidang media yang dihadiri oleh Rosnani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong ketika itu.

Menjawab soalan pemberita di sidang sidang akhbar tersebut, Rosnani berkata punca pencemaran air Sungai Langat sudah dikenalpasti oleh JAS, iaitu kehadiran banyak kilang haram yang melepaskan sisa buangan kilang, termasuk diesel, ke dalam anak sungai yang mengalir masuk ke Sungai Langat, di mana terdapat tiga 'pusat mengepam air' untuk dirawat sebagai air minuman.

Bekalan air selalu sahaja terputus apabila air dicemari oleh bahan kimia, terutamanya bahan logam dan diesel kerana sikap tidak bertanggungjawab pengilang terbabit. Apabila ditanya mengapa tidak ditutup sahaja kilang-kilang tersebut kerana JAS mempunya kuasa untuk bertindak atau mencadangkan tindakan itu kepada pihak berkuasa yang lain, jawapan Rosnani sungguh mengecewakan.

Katanya, sekiranya kilang tersebut ditutup, ramai yang hilang pekerjaan kerana walaupun berstatus 'haram', keluaran mereka bermutu dan berorientasikan eksport. Lagipun, katanya, keadaan ekonomi pada masa itu amat gawat dan negara tidak mampu kehilangan punca pendapatan.

Mungkin Rosnani sudah lupa dengan jawapan yang diberikan itu. Saya seolah-olah tidak percaya apabila kata-kata sedemikian keluar dari mulut seseorang diamanahkan untuk menjaga alam sekitar di negara ini.

Ini menggambarkan bahawa JAS memang tidak melakukan yang terbaik untuk alam sekitar dan lebih mementingkan nilai komersial serta mengkhianati kepercayaan rakyat. Sepatutnya JAS bertegas dalam isu buangan sisa ke dalam sungai yang memproses air minuman dan bukannya berdolak dalih dengan pelbagai alasan. Nyawa dan kesihatan ratusan ribu warga Lembah Kelang lebih berharga dari wang ringgit yang dijanakan oleh kilang-kilang haram tersebut.

Bagi sesiapa yang pernah mengikuti isu yang berkaitan dengan JAS sebelum ini, peristiwa kematian Rumie dan sisa toksik ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. JAS boleh menafikan apa sahaja, tetapi pembaca akhbar dan rakyat negara ini boleh menilai sendiri akan kebenarannya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS