Berhubung pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam muktamar kali ini, saya rasa terpanggil untuk turut memberi rasa kesian melihat Ustaz Hassan Shukri, insan yang banyak berjasa kepada parti sejak zaman Datuk Asri Haji Muda hinggalah sekarang. Malah, beliau tidak berpeluang menjadi menteri besar atau ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri atau apa-apa jawatan berdasarkan cadangan parti.
Beliau cuma hanyalah menjadi timbalan kepada Tun Syed Nasir di Yadim pada zaman perkahwinan PAS dan Barisan Nasional (BN) di zaman Tun Hussien Onn. Cuma sejak PAS memerintah Terengganu, maka dapatlah beliau merasai habuan berjuang dalam PAS sejak sekian lama, dengan menjadi seorang senator. Itupun jasa dan cadangan Ayah Chik Menteri Besar Terengganu (1999-2004) berserta sokongan Mustafa Ali dan lain-lainnya.
Namun, akibat daripada bunyi mulut dari Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, maka (jika benarlah seperti siaran akhbar BH ( Berita Harian ), kesian sangatlah kepada Hassan Shukri yang tidak mendapat apa-apa pesanan dan sokongan daripada pemimpin besar PAS untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden PAS.
Kalau diikut semangat yang seperti Nik Aziz khabarkan kepada khalayak dan akhbar bahawa kalau boleh jangan ada sebarang pertandingan, maka sedih betul dan tepatlah kenyataan Dr Haron Din untuk tidak menerima sebarang pencalonan dan tidak berminat menyertai apa-apa perlawanan dan perebutan jawatan dalam PAS sekarang.
Lagipun, apalah salahnya Hassan Shukri sehingga mahu disingkirkan dan apakah jika orang lain menjadi timbalan, maka PAS akan lebih baik daripada itu? Persoalannya, apakah kekalahan yang PAS alami baru-baru ini adalah dek kerana dipimpin oleh insan seperri Hasssan Shukri atau Abdul Hadi Awang, Harun Taib, Mustafa Ali dan lain-lain pemimpin lagi. Dan adakah perlu dirombak dan diubah semuanya.
Seperti kata Mahfuz Omar dalam UM ( Utusan Malaysia ) bahawa tujuannya bertanding dalam merebut jawatan dalam parti adalah supaya PAS lebih dinamik lagi dan banyak calon lain juga menyuarakan nada yang sama apabila mahu merebut apa-apa jawatan dalam parti. Yang hakikatnya ialah rekod masing-masing ketika diamanahkan memimpin PAS di semua peringkat jawatan parti sama ada di cawangan, kawasan, dewan mahupun pusat, perlulah diselidiki dan dikaji sehalus-halusnya bagi membenarkan misi dan visi masing-masing.
Melihat kepada Dr Haron Din pula, beliau sememangnya kurang sihat, namun kerana sahabat lama dan melihat kepada kezaliman Mahatir serta sememangnya beliau berilmu dan berperwatakan warak dan alim, maka beliau pun kembali aktif dengan PAS yang mana sebelum akta universiti dulu, beliau pernah menjadi naib yang dipertua agung PAS juga.
Sebenarnya ada sindirian daripada kenyataan beliau bahawa mana-mana pemimpin yang tidak berapa sihat undurlah dulu, berilah kepada yang masih gagah dan muda serta juga berilmu. Jangan dok pegang terlalu lama sangat, Mahathirpun pandai berhenti apabila dah tua dan tidak sihat.
