Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya pada 5 November 2016 telah mengumumkan bahawa Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (PPBP) akan dilanjutkan di lapan buah hospital kerajaan pada bulan Januari 2017.

Setakat ini Skim PPBP hanya diamalkan di Hospital Selayang dan di Hospital Putrajaya. Sekarang, skim ini akan dilancarkan di Hospital Besar Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Temerloh, Ipoh, Kuala Lumpur, Klang dan Seremban.

Kami iaitu pihak Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menerima banyak aduan daripada pesakit dan kakitangan Hospital Selayang serta Pusat Perubatan Universiti Malaya berkaitan pelaksanaan klinik dan sayap swasta di hospital umum. Antaranya:

1. Skim PPBP ada potensi tinggi untuk menarik perhatian doktor pakar kerajaan sehingga menjejaskan kualiti rawatan yang diterima oleh pesakit biasa yang tidak sanggup membayar. Skim PPBP di Selayang membenarkan pakar kerajaan mengutip sejumlah dua kali ganda gaji bulanan mereka. (Jika gaji RM 15,000 sebulan, pakar itu boleh rawat pesakit swasta sehingga mengutip RM30,000 sebulan. Ini membawa kepada situasi di mana pakar berkerja sehingga 10 malam, empat atau lima hari seminggu. Akibat ini:

- Pakar terlibat akan mendapat rehat yang sedikit pada waktu kerja biasa iaitu 8 pagi hingga 5 petang dan membiarkan doktor bukan pakar mengendalikan kes-kes pesakit yang tidak mampu membayar.

- Ini mewujudkan situasi di mana kes pesakit tidak mampu yang mempunyai komplikasi dan sukar dirawat oleh doktor yang baru mendapat kepakaran manakala pakar dengan pengalaman 15 tahun ke atas akan membuat pembedahan rutin selepas waktu pejabat untuk pesakit yang mampu.

- Pakar dengan pengalaman lama tidak mempunyai cukup tenaga dan membuat pelan rawatan untuk pesakit yang tidak mampu membuat bayaran. Tanggungjawab itu dipikul oleh doktor yang bukan pakar.

- Pakar yang berpengalaman tidak ada masa dan tenaga untuk mendidik doktor-doktor bukan pakar dalam unitnya.

- Setakat ini lebih 80 peratus doktor pakar dengan pengalaman melebihi 10 tahun sebagai pakar adalah di sektor swasta. Pesakit yang mampu boleh mendapatkan khidmat mereka. Hanya 20 peratus daripada pakar berpengalaman 10 tahun ke atas berkhidmat di hospital kerajaan dan mereka bertanggungjawab menjaga 70 peratus pesakit di negara kita. Jadi doktor pakar berpengalaman di sektor kerajaan tidak mencukupi untuk beban kerja yang sedang ditanggung oleh hospital kerajaan. Mengapakah kita mahu “distract” pakar kerajaan dengan skim PPBP ini?

2. Skim PPBP ini sedang mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan pakar-pakar kerajaan. 

3. Doctor pakar di hospital kerajaan enggan berkhidmat di hospital-hospital di kawasan luar bandar – Banting, Teluk Intan, Tawau, Sibu dan sebagainya. Kewujudan skim PPBP ini di hospital-hospital di bandar-bandar besar akan menjadikan pakar enggan berkhidmat di bandar-bandar kecil.

Oleh sebab-sebab ini, kami ingin memohon kerajaan:

1. Menangguhkan perlaksanaan skim PPBP.

2. Mengumumkan pada rakyat Malaysia kajian terhadap perlaksanaan skim PPBP di Selayang, Putrajaya, UMMC dan Hospital UKM. Apakah faedahnya skim ini dan apakah masalah yang timbul? Apakah caranya mengatasi masalah tersebut?

3. Mengadakan dialog dengan masyarakat madani terhadap kaedah-kaedah lain untuk mengendalikan penghijrahan doktor pakar dari kerajaan ke sektor swasta.

Berkaitan isu penghijrahan doktor pakar kerajaan, PSM mencadangkan:

- Mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Khas untuk kakitangan kesihatan kerajaan, dengan skim gaji dan ganjaran yang mirip skim yang dipakai di Institut Jantung Negara (IJN).

- Memperkenalkan system “sabbatical” di mana setiap pakar diberi cuti belajar bergaji penuh selama tiga bulan setiap empat tahun untuk ke luar negara dan mempelajari teknik pembedahan atau skop baru.

- Memperkukuhkan skim pencen untuk doktor pakar kerajaan dan menurunkan kelayakannya kepada 20 tahun perkhidmatan selepas mendapat kepakaran.

- Membekukan pembinaan hospital swasta baru. Hospital swasta yang sedia ada harus dibenarkan beroperasi tetapi mereka juga tidak diberi izin membina wad baru.

Kami, PSM dan GMPPK, berpendirian bahawa sistem kesihatan awam yang ada di Malaysia adalah salah satu antara ciri-ciri Malaysia yang mesra rakyat dan harus dipelihara. Kami juga amat menghormati doktor, jururawat dan kakitangan lain kementerian kesihatan yang berkorban dan berkhidmat bersungguh-sungguh untuk menjaga kesihatan rakyat kita. Kami tidak ada bantahan terhadap usaha memperbaiki sistem gaji dan ganjaran mereka.

Itulah sebabnya kami tidak puas hati dengan keputusan kerajaan melaksanakan skim PPBP ini tanpa menjalankan proses “due diligence”, dan diskusi yang mendalam supaya mengelak kesan negatif yang tidak dijangka. Kami percaya skim PPBP akan membawa kepada situasi di mana pesakit yang tidak mampu membayar akan diabaikan. Kebajikan B40 masyarakat kita akan terjejas jika skim PPBP diperluaskan.

“Due diligence” ini hanya boleh dilakukan sebelum skim diperluaskan kepada 8 buah hospital lagi. 


Dr JEYAKUMAR DEVARAJ  Pemimpin Parti Sosialis Malaysia

Lihat Komen
ADS