Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Ketika menyambut Hari Pekerja tahun ini, pekerja Malaysia tanpa sedar semakin dihimpit oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu, pencabulan hak pekerja dan ramalan revolusi industri keempat yang dikatakan akan mengambil banyak peluang pekerjaan di peringkat pertengahan (eksekutif, jurutera dan pegawai) terus menghantui mereka.

Ramai tidak sedar yang perlindungan untuk pekerja pertengahan tidak kuat dari segi undang-undang.

Menurut Akta Kerja 1955 (Akta 265), takrifan pekerja yang dilindungi oleh akta ini adalah untuk yang bergaji bawah RM2,000.

Berdasarkan tangga gaji ini, pekerja pertengahan semestinya tidak termasuk dalam pelindungan akta pekerja.

Mereka adalah lepasan universiti sama ada diploma atau ijazah dan justifikasi yang diberikan untuk golongan ini tidak dilindungi oleh undang-undang.

Ini kerana kelulusan mereka memudahkan mereka mendapat pekerjaan lain jika diberhentikan majikan.

Jika pekerja bawahan, bayaran pampasan mereka dilindungi oleh undang-undang, tetapi tidak bagi pekerja pertengahan yang bergantung pada budi bicara majikan.

Jadi di mana hak golongan pertengahan?

Golongan majikan sekarang lebih rela memberhentikan pekerja pertengahan berbanding pekerja bawahan kerana faktor ini.

Pekerja pertengahan ini akan memasuki kembali pasaran pekerjaan untuk bertanding dengan graduan muda yang tentunya akan lebih menjadi pilihan majikan kerana faktor gaji yang murah.

Dengan kebergantungan ekonomi Malaysia kepada pelaburan luar, faktor ini akan terus menjadi duri dalam daging untuk pekerja-pekerja Malaysia.

Adakah tangga gaji RM2,000 masih relevan dengan undang-undang Malaysia? Inilah persoalan yang harus dijawab oleh kerajaan dan kementerian sumber manusia.

Mengapa diskriminasi terhadap pekerja pertengahan ini terjadi dan bagaimana kerajaan mahu mengatasi masalah ini?

Bagi pekerja pertengahan, satu persatuan untuk golongan mereka harus dibentuk untuk menyatakan pendirian mereka.

Badan profesional pekerjaan tidak akan mempertahankan hak mereka dan hanya sibuk untuk memberi gelaran IR atau segala jenis gelaran dengan yuran yang mahal untuk “alter ego” anggota badan tersebut.

Gila gelaran dan pangkat memang unik di Malaysia, semua orang berlumba-lumba untuk menggunakan gelaran datuk, doktor, profesor, dan ingenieur (IR).

Golongan profesional dan graduan baru seharusnyanya tidak sibuk mendapatkan gelaran sebaliknya harus bertanya sama ada tempat pekerjaan mereka ada diwujudkan persatuan untuk mereka untuk membela hak-hak mereka.

Berita perberhentian rakan-rakan seperjuangan saya di syarikat lain menyedarkan yang taraf jurutera menyedarkan bukanlah jaminan untuk masa hadapan yang gemilang.

Undang-undang dicipta untuk melindungi semua golongan manusia. Jangan wujudkan undang-undang yang berbeza, semua pekerja seharusnya dilindungi oleh akta dan undang-undang yang sama.

Kami golongan pekerja pertengahan bukannya keturunan langit yang tidak perlu dilindungi oleh undang-undang dan tindakan kejam para kapitalis dan majikan.

Golongan pekerja, bersatulah.


Surat ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS