Paling Popular
Terkini

Menilai kembali lelah dan penat bergelut dalam perjuangan terpencar-pencar, anak muda Malaysia bakal mengetepikan perbezaan masing-masing untuk berkongres pada 13 dan 14 Mei ini.

Kongres Anak Muda Malaysia 2017 yang terpahat hasrat besar membentuk hala tuju bersama dalam bergerak ke hadapan, pastinya meniti laluan berliku di celah-celah wayang politik yang amat menjemukan.

Transformasi Nasional 50 (TN50), gagasan Najib Razak yang digerakkan budak suruhan kleptokrat, Khairy Jamaluddin, kini menjadi pertaruhan besar BN untuk memperbodoh generasi masa hadapan.

Bertopengkan hasrat yang muluk-muluk pada zahirnya, ia tetap tidak mampu menutup perancangan hanyir mengalih tumpuan ramai terhadap dosa-dosa puluhan billion yang hilang di tangan aparat MO1, Jho Low dan Reza Aziz.

Lalu apa nilai berharga yang ditawarkan TN50 ini? Tiada.

Pelik yang amat. Perompak sebesar itu, yang dikutuk setiap penjuru dunia masih bebas berkeliaran tidak tertangkap-tangkap.

Disumpah seranah dari Perlis hingga ke Sabah pun, makhluk itu masih bertakhta, malah kian berkuasa.

Walau tahu gagasan palsu ini tidak lebih sekadar menutup pengkhiantan terbesar dalam sejarah, realiti semak dan imbang nyata tidak mampu menggelegak hingga rakyat bangkit dan melawan.

Grand coalition ke arah ketumbukan ampuh menyaingi BN juga sudah lama tutup buku. Parti berlogo bulan akhirnya berkerat rotan dengan semua parti perubahan - termasuk tunjang di negeri terkaya.

Walau bercerai di tengah khalayak, sang pelafaz talak tetap tidak malu tidur sebumbung. Berselingkuh semahunya.

Hipokrasi berlapis-lapis

Biarlah orang mengata, asalkan masyuk setiap bulan. Kekal di situ sampai berlumut punggung. Tersengih-sengih sambil mengemut rapat di tiang kuasa.

Si polan yang terhegeh-hegeh nak berbincang setelah ditalak tiga ini pula, usahlah dibuat-buat bertanya punca berperangai begitu.

Kadang-kadang garis halus antara berjiwa besar dan bengap itu bukan semua orang boleh bezakan. Kepeningan-kepeningan berasaskan kepentingan ini tidak mudah dikupas.

Semakin dikupas, semakin berhampas. Bercakap banyak nanti 'dipersetankan' pula.

Demikian kemelut yang perlu dirintis anak muda dalam menggarap hala tuju bersama.

Kongres Anak Muda Malaysia 2017 ini mungkin medan terbaik mewujudkan naratif perubahan yang lebih jujur dan berterus terang. Bebas dari omong-omong tua yang bersimpang-siur.

Walau hingga kini, kita selamat bertatih di gelegar hipokrasi yang berlapis-lapis, menahan cakap-cakap benar untuk sebuah kepentingan, gelegar hipokrasi ini takkan mampu bertahan lama.

Reformasi perlukan kejujuran dari lubuk paling dalam. Perubahan takkan mampu terbina bersendikan sebuah gelegar hipokrasi.

Strukturnya yang rapuh, tidak asli, bermuka-muka, tidak telus, cukup membuat kita bimbang jika ia roboh tanpa sempat kita bersedia.

Mungkin telah sampai masanya gelegar itu dicabut satu persatu, dirungkai lapis demi lapis, dan dibina kembali dengan ketulenan hasrat dan tekad - sebuah negara perubahan.

Anak-anak muda yang hadir Sabtu ini mungkin telah sedia berparti, tidak mahu berparti, berseorangan atau sesiapa sahaja.

Boleh jadi mereka mahu terus bermuka-muka, senyap atau lantang berterus-terang. Bakal ada pula yang akan sakit hati, terguris atau panas punggung dengan tidak semena-mena.

Apa pun hasilnya, itulah suara hati anak-anak muda. Suara bersama yang akan bergema di seluruh pelusuk tanah air, Malaysia Timur hingga ke Malaysia Barat.


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini

Lihat Komen
ADS