Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Menyemarak penglibatan anak muda rentas politik

Tempoh hari saya ikuti dan menekuni perbahasan perwakilan sayap pemuda PKR dalam Kongres Nasional Tahunan ke-12 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor.

Sebagai anggota Angkatan Muda PKR (AMK) yang bergiat aktif di era kepimpinan Shamsul Iskandar Mohd Akin (kini naib presiden PKR), saya melihat kualiti para pembahas dalam Kongres AMK pada kali ini menunjukkan peningkatan yang positif.

Perwakilan negeri Johor, Wilayah Persekutuan dan Melaka khususnya menawarkan hujah yang tuntas dan kritikal meski ada sedikit nada konfrontasi.

Namun sewajarnya begitulah lumrah sayap pemuda – perlu bertenaga, kritis dan garang!

Kongres PKR kali ini juga sedikit sebanyak telah meredakan keresahan anggota AMK berkait kelesuan gerak kerja tatkala mendengar amanat khas oleh Anwar Ibrahim yang dibacakan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Anwar, menerusi amanat beliau antara lain mewakilkan tanggungjawab kepada Shamsul Iskandar – atas keperluan mendesak – untuk membantu merangka strategi dan menyelaraskan semula aktiviti dan kegiatan AMK mutakhir ini yang dilihat kurang bertenaga dan tidak menyerlah.

Langkah ini adalah tepat di saat parti berdepan dengan asakan lawan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijangka akan diadakan dalam tempoh satu tahun dari sekarang.

Persiapan dan gerak kerja politik anak muda menjelang PRU14 pula kini dilihat diterajui secara agresif khususnya oleh sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pemuda Parti Amanah Negara.

Bagaimanapun, inisiatif penganjuran Kongres Anak Muda Malaysia (KAMM) oleh perkumpulan anak muda yang bergerak secara mandiri baru-baru ini tidak boleh dikesampingkan.

Saya sempat meluang masa untuk hadir ke acara tersebut dan mengesan kelibat aktivis-aktivis muda yang terlibat sebagai panitia penganjur antaranya – Adam Adli, Mandeep Singh, Amir Abd Hadi, Anis Syafiqah dan Simon Cheah yang komited dan bertenaga.

Saya teruja kerana acara yang dianjur secara mandiri dengan dukungan kewangan yang sangat minimum ini berjaya menarik penyertaan meluas dari pelbagai segmen anak muda.

Selain perwakilan dari kelompok mahasiswa, turut memenuhi kongres adalah perwakilan anak-anak muda dari Borneo, komuniti Orang Asal juga perkumpulan anak-anak muda yang terlibat aktif dalam pelbagai lapangan - politik, intelektual, seni dan budaya.

Sambutan anak muda terhadap KAMM kelihatan mengatasi kehadiran di majlis-majlis rapat umum anjuran organisasi politik.

Realitinya, mutakhir ini trend penerimaan anak-anak muda mulai cenderung menjauhkan diri dan menolak asosiasi dengan organisasi berteraskan politik kepartian.

Sikap sinis

Barangkali perkembangan politik nasional yang menzahirkan perbalahan di kalangan pimpinan politik dan sikap mereka yang mengetepikan agenda rakyat menyumbang kepada kecenderungan ini.

Sikap generasi muda yang semakin sinis terhadap apa jua yang berkait dengan politik ini sewajarnya menimbulkan kebimbangan di kalangan pimpinan parti politik.

Membangunkan idealisme dan gagasan Malaysia yang baru pastinya mustahil tanpa penglibatan anak-anak muda di dalam gerakan politik kepartian.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab pimpinan politik muda khususnya sayap pemuda Pakatan Harapan untuk bergerak aktif menggembleng kekuatan dan menggiatkan gerak kerja penerangan dan temu tembung dengan pelbagai segmen anak muda.

Lantaran itulah kita dapat melihat bagaimana ketua Pemuda Umno sendiri ‘terpaksa’ menjarakkan diri dari menyarung imej sebagai pemimpin Umno dan lebih giat memasarkan dirinya dengan imej mandiri, santai dan bebas.

Beliau pastinya telah sedar akan kepentingan sokongan anak muda yang dilihat tidak memihak kepada BN.

Ini dibuktikan dalam pilihan raya umum ke-12 dan ke-13 apabila BN kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen hasil sokongan anak-anak muda terhadap pembangkang.

Penglibatan anak muda dalam gerakan politik nasional sewajarnya terus digarap secara menyeluruh namun perlu diakui bahawa ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Terdapat hampir empat juta anak muda yang akan mengundi buat kali pertama dalam PRU14 akan datang.

Angka ini bukan kecil dan pastinya menuntut parti-parti bertanding mengemukakan kebijakan yang dilihat mampu menawarkan penyelesaian terhadap permasalahan yang melatari kehidupan seharian mereka.

Masalah seperti kadar pengangguran yang tinggi di kalangan graduan seperti yang terkandung dalam Laporan Bank Negara 2016 (diterbitkan pada 23 Mac 2017) menyebut pengangguran belia di Malaysia telah mencapai kadar 10.7 peratus pada 2015, meningkat tiga kali ganda daripada kadar 3.1 peratus.

Ternyata perkembangan ini amat membimbangkan.

Jika inilah realitinya bagaimana pula dengan nasib anak muda yang terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi manakala pada masa sama masih menganggur?

Bagi yang sudah bekerja, mereka merungut tentang kadar gaji yang senjang.

Masalah pemilikan rumah pertama juga merupakan isu kritikal melibatkan anak muda dan seharusnya dipandang serius oleh parti-parti yang bertanding.

Hakikatnya, mandat dalam PRU14 akan ditentukan oleh anak muda. Parti-parti politik yang berdamping dan memahami aspirasi anak-anak muda serta mampu mengemukakan tawaran yang dilihat praktikal dalam menyelesaikan permasalahan mereka pastinya akan berpeluang cerah untuk menerajui Putrajaya.

Maka janganlah diremehkan penglibatan dan upaya anak muda dalam wacana dan gerakan politik nasional.

Kata Benjamin Disraeli, mantan perdana menteri Britain, “Hampir semua yang hebat telah dilakukan oleh anak muda!”


NAJWAN HALIMI merupakan setiausaha PKR Kelana Jaya. Beliau boleh dihubungi di twitter.com/najwanhalimi.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS