Banteras ajaran sesat tanpa mengira bangsa, agama
Saya merujuk kepada surat bertajuk Ajaran sesat: Seragamkan perundangan Ali Bukhari Amir .
Dalam isu agama, terutama mengenai bidangkuasa menguatkuasakan perundangan, saya berpendapat, kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar (Berita Harian, 10 Julai) tidak sebegitu tepat apabila beliau menyatakan yang isu agama sesat adalah di bawah kuasa negeri.
Di bawah bidangkuasa Persekutuan, Parlimen telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menjaga keamanan negara. Dan seandainya terdapat pihak-pihak yang menghasut atau menyampaikan sesuatu yang mengancam ketenteram masyarakat, maka ia sepatutnya jatuh dalam definasi akta tersebut.
Oleh itu, penyebar agama sesat dan ideologi sesat perlu diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan pusat mengikut undang-undang.
Bagaimanapun, saya berpendapat, ada juga kebenarannya berhubung kenyataan Datuk Noh itu, kerana pindaan Perlembagaan Negara terhadap Perkara 121(1A) melarang mahkamah sivil campurtangan dalam isu agama Islam. Maka isu agama sesat Islam sewajarnya jatuh di bawah bidangkuasa mahkamah syariah.
Ini berikutan Enakmen Jenayah Islam negeri, telah secara nyatanya memberikan kuasa tersebut kepada mahkamah syariah dan jabatan agama Islam negeri. Seandainya kerajaan pusat campurtangan, maka akan berlaku pertindihan kuasa antara kerajaan pusat dan negeri, serta mewujudkan 'double jeopardy' terhadap tertuduh.
Menurut sejarah Malaysia, orang Islam telah membantah penubuhan Malayan Union dan semasa berunding dengan bekas penjajah, antara syarat yang ditimbulkan adalah bidangkuasa negeri dan kuasa sultan. Ekoran rundingan ini dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan, maka agama Islam diletakkan di bawah kuasa negeri dan sultan sebagai simbol agama negeri.
Di bawah Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan, telah menyatakan dengan jelas bahawa agama Islam terletak dalam bidangkuasa negeri. Keseragaman perundangan Islam untuk tujuan mengawal agama sesat, akan menghakiskan lagi kedaulatan sultan negeri dan membelakangkan semangat 46.
Kawalan agama sesat bukan masalah orang Islam sahaja tetapi isu sejagat. Contohnya, agama yang diiktiraf sebagai agama sesat iaitu FaLunGong di China dan agama sesat lain, tidak kira sama ada mereka menganggap sebagai salah satu aliran daripada agama Buddha, Kristian, Islam atau Hindu.
Agama sesat yang bertujuan untuk mendatangkan kemewahan dan kepentingan pengaruh kepada pemimpin atau penyebarnya dan menyesatkan pengikutnya, perlu dibanteras tanpa kira agama atau bangsa.
Oleh itu, perlu ada satu forum seperti yang dicadangkan oleh Majlis Peguam, iaitu forum interaksi antara agama, untuk membincangkan isu agama sesat kerana pendapat pakar agama dapat membantu kerajaan menentukan perundangan untuk mengawal kegiatan tersebut.
Majlis Fatwa Kebangsaan hanya terpakai kepada orang Islam. Bagaimana pula dengan agama Toisme, Buddhisme, Kristian, Hinduisme dan lain-lain lagi. Bukankah tidak bermoral dan tidak berakhlak bagi kita untuk menyaksikan saudara kita dihasut oleh penyebar agama sesat tetapi tidak dapat membuat apa-apa?

