Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mempelajari ilmu agama dan menyampaikannya merupakan salah satu perkara yang terpuji di dalam Islam. Namun, di sana ada segelintir remaja-remaja Islam yang terlalu bermudah-mudahan dalam mengambil dan menyampaikan ilmu agama.

Mereka mengambil apa sahaja yang ada hadapan mata bersumberkan media cetak seperti buku-buku dan ada juga yang mencedok secara langsung daripada Internet melalui Google ataupun Youtube tanpa merujuk kepada para-para ulama.

Tidak cukup dengan itu, mereka mula menjebakkan diri dengan kumpulan-kumpulan kecil atau lebih sinonim dengan nama 'usrah' yang dibuat atas dasar dakwah.

Kebiasaannya, remaja-remaja yang terjebak dengan kumpulan ini dipaksa untuk membawa al-Quran terjemahan untuk ditafsir dan disyarah mengikut hawa nafsu sendiri tanpa disandarkan kepada terjemahan ulama-ulama muktabar.

Penyelewengan yang berlaku

Hasilnya, begitu banyak penyelewangan yang dilakukan oleh mereka. Antaranya ialah, mensifatkan Allah Taala dengan sifat yang tidak layak baginya seperti sifat emosi dengan berkata “Allah Taala rindu kepada hambanya”.

Perkara ini jelas bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mensucikan Allah Taala daripada segala sifat makhluk.

Lebih parah, ada sebahagian naqib (ketua usrah) menafsirkan al–Quran tanpa ilmu.

Sebagai contoh, pada surah al-Baqarah, ayat 191 dengan tafsiran “Fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh".

Lalu, sebahagian daripada mereka memberi tafsiran bahawasanya jika ada dua kelompok manusia yang tersebar pada mereka fitnah (yang difahami dengan maksud penipuan atau kerosakan antara dua pihak), maka akan terjadilah pembunuhan beramai-ramai.

Tafsiran yang sempit dan dangkal ini jelas bertentangan dengan tafsiran ulama-ulama muktabar seperti Imam Fakhruddin al-Razi yang telah menukilkan dalam Tafsir al-Kabir bahawasanya yang dikehendaki dengan makna fitnah itu dengan makna kekufuran kepada Allah Taala.

Tak salah sertai usrah

Kesimpulannya, tidak salah untuk menyertai usrah. Akan tetapi, pastikan terlebih dahulu usrah tersebut dipimpin para nuqaba yang benar yang mengambil ilmu secara bertalaqqi dan bersanad supaya apa yang disampaikan itu bukanlah daripada buah fikiran mereka bahkan ia diambil oleh mulut-mulut para ulama.

Selain itu, naqib yang bagus adalah yang mengutamakan ilmu yang wajib iaitu ilmu fardhu ain.

Ramai remaja Islam yang jahil tentang ilmu ini tetapi menyangka diri mereka sudah alim kerana telah selesai belajar sewaktu di sekolah walhal apabila ditanya tentang asas-asas aqidah, perkara-perkara berkaitan feqah seperti rukun-rukun solat, maka mereka tidak mampu menjawabnya.

Sebaiknya, para nuqaba hendaklah mempelajari ilmu ini walaupun dengan mengkhatamkan satu kitab dan mengajarkannya kepada rakan-rakan yang lain.

Akhir sekali, ditegaskan bahawasanya cara yang sebenar dalam menuntut ilmu ialah dengan bertalaqqi kerana ia bukan hanya menjamin ketulenan ilmu yang disampaikan malah rantaian sanad yang menghubungkan di antara guru dengan guru sehinggalah ke atas, secara tidak langsung menjadi medium pengaliran keberkatan dari generasi terdahulu kepada generasi terkemudian.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS