Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Kewangan negara tenat hingga elaun bakal guru mahu ditarik?

Baru-baru ini, menerusi satu kenyataan media bertarikh 15 Julai 2017, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa elaun yang diberikan khas kepada penuntut di Institut Perguruan (IPG) akan dimansuhkan mulai pengambilan pelajar Jun 2018.

Elaun sara diri sebanyak RM430 yang diperuntukkan kepada bakal-bakal guru ini serta elaun balik kampung sebanyak RM500 setahun merupakan antara keistimewaan yang diperolehi oleh mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kamarozaman Abd Razak, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, yang mengulas isu pemansuhan elaun ini menyatakan dan mendesak supaya kerajaan khususnya Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula keputusan yang telah diumumkan.

Ini kerana ia bakal menatijahkan kesan dan implikasi yang besar kepada para bakal guru khususnya mereka yang datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Namun begitu, apa yang lebih menghairankan dan melucukan ialah, apabila Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid, pada 18 Julai menyatakan bahawa keputusan untuk memansuhkan elaun IPG ini belum dimuktamadkan.

Bagaimana satu kenyataan rasmi dapat dikeluarkan dalam keadaan ia belum dimuktamadkan?

Berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan pada 18 Julai, beliau menyatakan bahawa tempoh dua bulan diperlukan bagi kerajaan menjalankan kajian sama ada untuk memansuhkan elaun IPG atau tidak.

Walau bagaimanapun, kami di Mahasiswa AMANAH dengan ini mendesak dengan sekeras-kerasnya supaya elaun IPG ini tidak dimansuhkan dan terus diberikan kepada generasi bakal pendidik anak bangsa!

Dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi dan keperluan untuk menambah guru khususnya di kawasan pedalaman, Mahasiswa AMANAH melihat tindakan kerajaan ini sebagai satu tindakan yang terdesak dan tidak bertanggungjawab!

Bukankah sebelum ini kerajaan menjanjikan bahawa GST akan memberikan pulangan dan keuntungan pada rakyat?

Bukankah sebelum ini kerajaan sudah pun menafikan hak biasiswa di bawah JPA selain mengurangkan hampir 50 peratus peruntukkan pada universiti-universiti awam?

Atau adakah segala potongan ini digunakan untuk membayar segala hutang 1MDB dan menampung jet peribadi Perdana Menteri?

Justeru, Mahasiswa AMANAH dengan ini mendesak agar keputusan untuk memansuhkan elaun IPG supaya ditarik balik dan dimuktamadkan segera!

Kami berpegang teguh bahawa golongan pendidik ini sangat penting dalam membangunkan sebuah negara bangsa Malaysia yang bertamadun dan berdaya saing.

Kami dengan ini mengajak seluruh persatuan, kumpulan dan individu dari kalangan mahasiswa dan bukan mahasiswa untuk bersama dalam desakan ini dengan menghantar Memorandum Desakan Menarik Balik Keputusan Mansuh Elaun IPG yang akan diadakan di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada hari Rabu, 26 Julai 2017 yang akan datang!


FADHLI UMAR AMINOLHUDA adalah Pengerusi Mahasiswa AMANAH.

Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS