Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Lupakah kita bahawa pemimpin utama yang menerajui negara ini sebenarnya masih kuat dengan sentimen perkaumannya yang berasal dari keturunan Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone.

Keturunan ini adalah dari Gowa yang terletak di Sulawesi Selatan yang menjadi penempatan masyarakat Bugis-Makassar.

Jadi tidak hairanlah beliau mengambil keputusan untuk melakukan kunjungan hormat ke sana sebaik saja menjadi perdana menteri.

Mungkin kunjungan beliau itu bertujuan untuk berkongsi kejayaan kaum beliau ketika berada di negara lain bersama-sama warga tempatan di negara asal usulnya itu.

Kata Dato Seri Najib Razak:

"Saya adalah anak Gowa, saya keturunan langsung Raja Gowa dan hari ini saya balik ke Gowa bukan untuk merampas tahkta Raja Gowa, melainkan untuk menjalin semangat kekeluargaan yang sebenarnya tidak putus, saya adalah anak Gowa yang merantau sebelas generasi lamanya.”

Demikianlah ungkapan Najib seperti mana yang pernah dilaporkan oleh media Indonesia.

Manakala timbalannya pula, Datuk Seri Zahid Hamidi berdarah Jawa berketurunan Ponorogo-Kulon Progo dari Yogyakarta.

Beliau lahir sebagai generasi kedua yang mula bermastautin di Malaysia sejak tahun 1932.

Beliau turut berkongsi kebanggaan sebagai anak jati dari Indonesia kerana kini sudah pun menjawat jawatan kedua tertinggi di negara tetangga.

Sebagai bukti, beliau turut mempamirkan kefasihan beliau berbahasa Jawa di depan penonton TV Indonesia.

Namun apakah benar semua orang Indonesia turut berbangga dengan menganggap Malaysia sebahagian daripada Nusantara.

Sebenarnya bukanlah tujuan kita mahu menghina keturunan mana-mana pihak. Hakikatnya memang ramai orang Malaysia mempunyai hubungan DNA dengan orang Indonesia.

Jadi tidak salah kita mengakui asal usul kita itu, malah tidak kurang juga orang Indonesia yang berketurunan India.

Namun keturunan seseorang itu belum tentu menjamin mereka akan mempunyai watak yang baik. Lebih-lebih lagi pemimpin yang suka mempersendakan keturunan orang lain.

Malangnya di Malaysia ada juga pemimpin yang berani menghina keturunan negarawan dari negaranya sendiri hanya kerana perbuatan mereka itu dikritik.

Bagaimana rakyat dapat menghormati keturunan mereka jika mereka sendiri tidak malu mempersendakan keturunan pemimpin lain.

Pada hal jasa mereka sendiri pun belum lagi nampak terserlah berbanding dengan jasa negarawan yang mereka hina itu.

Jadi janganlah kita menghina keturunan mana-mana pihak atau hanya mahu berbangga dengan keturunan sendiri.

Terimalah hakikat bahawa semua manusia itu adalah mahkluk Allah.

Menghina keturunan manusia samalah seperti menghina penciptanya.

Hakikatnya Allah mencipta manusia dengan berbagai bangsa dan keturunan, bukan untuk dihina tetapi untuk kita menghayati kebesaran Allah dalam mencipta bangsa manusia.

Lihat Komen
ADS