UKM semakin primitif

comments         Published     Updated

Cadangan Canselor Universiti Malaya (UM) Sultan Azlan Shah semasa Konvenkesyen Universiti Malaya (UM) baru-baru ini supaya skim perkhidmatan tenaga akademik di IPTA digubal semula bagi membolehkan tempoh persaraan mereka dilanjutkan, saya kira amat bertepatan dengan falsafah dan aspirasi penubuhan universiti itu sendiri.

Justeru, dari saranan ini, saya merasa terpanggil untuk berkongsi bagaimana pembaziran kepakaran dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi apabila menamatkan sambungan kontrak Profesor Matematik-Fizik yang produktif, Dr Shaharir Mohamad Zain.

Beliau yang bersara apabila kontrak tahunannya ditamatkan pada pertengahan tahun ini, telahpun meninggalkan sejumlah kepakaran yang sukar ditampung oleh generasi baru.

Lebih malang lagi, beliau pergi dalam suasana yang amat tidak disenangi. Hal ini juga diceritakan secara sinis oleh beliau dalam 'kata pengenalan' salah sebuah buku terbarunya, Tabii Zarah Atom: Penjana Sains Matematik dan Terserlah Alam Metafizik (2004). Di sini, beliau dengan insaf mengungkapkan kewujudannya di UKM tidak lagi diperlukan angkara telatahnya yang tidak direstui oleh 'Raja rimba raya semasa'.

Pada saya ini sebenarnya bukan isu satu-dua peribadi, sebaliknya menjangkau kepada persoalan yang jauh lebih besar. Kerana hal ini, kita lihat autonomi universiti mula tergugat akibat pengaruh-pengaruh luar.

Kini apa yang terpapar, nilai intelektualisme haruslah sejajar dengan kehendak politik, bukannya sejajar dengan semangat keilmuan. Kritikan dan pandangan tenaga akademik sekalipun atas konsep ilmu semestinya mengikut telunjuk orang atasan. Saya fikir, ini cara pandang yang sangat primitif sekali. Adakah kita mahu kembali ke zaman Dark Ages?

Prof Shaharir, yang disingkir secara diam-diam, tanpa pembelaan yang sewajarnya, pada hakikatnya masih amat-amat diperlukan lagi oleh dunia akademik tanahair, lebih-lebih lagi di UKM. Malah, kekuatan ilmu beliau telah diiktiraf sehingga menjadi Felo Institute of Mathematics and its Applications (FIMA)-UK sejak 1989 lagi, selain turut menjadi Felo Akademi Sains Malaysia (ASM). Bagi dunia akademik tanahair, ini satu pencapaian yang hebat bila mana ada institusi barat menghargai sumbangan tokoh negara dari kita.

Lebih menarik lagi, sejak awal tahun 1980-an, beliau, melalui Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), telah memperkenalkan gagasan "PengIslaman ilmu" dan "Pemeribumian ilmu" sebagai usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Komitmen beliau telah dimanifestasikan dalam buku-bukunya yang kesemuanya ditulis dalam bahasa Melayu dengan satu cara penulisan yang tersendiri. Hasilnya memang menarik. Lantaran itu, hanya orang yang tidak betul sahaja menyingkirkan tokoh sepertinya? Jelas, ia pada saya merupakan satu tidak yang tidak rasional sama sekali.

Apa yang kita bimbangkan, jangan-jangan projek untuk memuluskan lagi penggunaan bahasa Inggeris di UKM bagi mengantikan pengantar bahasa Melayu telah mendorong keputusan ini. Apatah lagi, Prof Shaharir antara akademia yang mengkritik tajam, bernas, konsisten terhadap dasar yang tidak langsung sedang berjalan ini.

Jika UKM yang menjadi benteng penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan tidak lagi meneruskan dasar ini, maka siapa lagi yang kita mahu harapkan? Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Prof Shaharir tentang 'telatah'nya yang tidak disenangi itu.

Pada saya, penyingkiran tenaga akademik yang mempunyai reputasi besar ini saya iringi dengan hati yang amat sedih dan sebak. Beliau telah meninggalkan kenangan-kenangan yang amat indah, sukar dilupakan serta rajin mendidik generasi-generasi baru tentang makna menjadi seorang intelektual - melalui imunya yang merentasi displin-displin ilmu. Beliau merendah diri meskipun pernah menjadi Timbalan Naib Canselor UKM, senang dengan mahasiswa tanpa mengira masa dan sifat-sifat sebegini sukar ditemui di kalangan tenaga akademik yang baru.

Namun memang sayang sekali, lazimnya orang yang seperti ini dianggap tidak berguna (atau sampah dalam politik universiti). Benarlah titah Sultan Azlan Shah, kadangkala umur persaraan 56 tahun adalah tidak memadai untuk dimanfaat kematangan para tenaga akademik, walhal 'semakin tua warga akademia ini, semakin berisi ideanya'. Maaf, sebab itu saya fikir, warga universiti di Malaysia dewasa ini, termasuk di UKM, tidak lebih dari 'seekor robot' yang hanya menurut perintah.

Persoalannya, bagaimana budaya yang seperti ini eksploitasi kuasa ke atas tenaga akademik yang senja - boleh membarah dalam dunia intelektualisme tanahair. Usia kontrak mereka ini ditentukan atas nilai sejauh mana ketaatan mereka sanggup untuk menjadi 'seekor robot'. Dalam tradisi intelektual, ini sesuatu yang amat memalukan. Ya, mungkinkah YB Dr Shafie Salleh ada jawapannya?



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In