Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Penoreh getah di Johor khususnya sekitar Segamat dan Labis mendakwa pendapatan mereka menyusut hampir 50 peratus berikutan hasil kebun yang terjejas akibat daun pokok getah yang luruh berulang kali sejak awal tahun ini.

Untuk tanah dengan keluasan kira-kira 1.2 hektar, seseorang penoreh hanya memperoleh 30 kilogram getah sehari berbanding antara 60 hingga 70 kilogram sebelum ini.

Daun pokok getah yang dikatakan bermasalah perlu diambil serius dan satu kajian perlu dilakukan oleh pihak berwajib, seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) supaya masalah dapat dikenalpasti.

Objektif Risda sendiri adalah untuk memastikan pekebun kecil memperoleh purata pendapatan bulanan sehingga RM4,000 bagi satu keluarga pada tahun 2020.

Namun, keadaan sekarang tidak menjamin objektif ini mampu dijadikan kenyataan.

Hasil kebun yang merosot mendadak sehingga RM2 sekilogram sekaligus memberi kesan besar terhadap pendapatan penoreh. Kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah dengan cukai barangan dan perkhidmatan membuatkan masyarakat Melayu yang rata-ratanya pekebun kecil begitu tertekan kerana hasil pendapatan harian mereka tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga.

Harga jatuh menjunam

Kini, penoreh bukan sahaja menghadapi kejatuhan harga getah tetapi juga terpaksa menangani masalah kurang hasil torehan, menjadikan kehidupan mereka bertambah sukar.

Walaupun harga getah mengecapi RM4 sekilogram baru-baru ini, namun kenaikan itu gagal memuaskan pemilik kebun dan penoreh getah.

Menurut penoreh, pendapatan bersih mereka gagal mencecah RM1,000 sebulan, iaitu gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan untuk semua pekerja termasuk pekerja asing.

Mengapakah Risda belum bertindak walaupun masalah ini sudah wujud sejak awal tahun lagi?

Walaupun usaha kerajaan menganjurkan pelbagai program pembangunan melibatkan pekebun kecil dan penoreh getah diberi perhatian oleh Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Berhad (Narsco), Datuk Zamri Yaakob , namun masalah sebenar seperti ini yang patut ditangani dengan segera.

Menurut Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) negara kita merupakan pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia selepas Thailand, Indonesia, Vietnam dan China Harga.

Dalam keadaan begitulah harga getah menjunam pada 2013 sehingga ke paras RM1 hingga RM2 sekilogram, dan keadaan itu berterusan sehingga November 2016.

Saya menyeru agar penyelesaian jangka masa panjang yang lebih berkesan dicari untuk menangani isu getah di Malaysia.

Saya mencadangkan agar diwujudkan mekanisme bayaran minimum tetap kepada penoreh getah sebanyak RM1,200 sebulan supaya pengeluaran hasil getah yang lebih baik pada masa akan datang dapat dicapai.


DATUK SERI DR SANTHARA ialah pengerusi Biro Integrasi Nasional PKR merangkap penyelaras kawasan parlimen Segamat, Johor.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS