Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Sudahlah menganggur, mengapa perlu dibebankan lagi?

Saya ambil maklum mengenai beberapa individu yang telah meluahkan rasa kesal di media sosial apabila mereka seolah-olah telah diperdaya oleh pihak penganjur, Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 yang berlangsung di Hotel Tabung Haji, Kepala Batas Sabtu lalu.

Mereka mendakwa terpaksa membayar RM10 bagi satu borang permohonan kerja untuk memiliki peratusan yang tinggi sebuah syarikat itu akan mengambil mereka bekerja dan tambahan RM50 untuk menyertai seminar penyediaan resume, temuduga dan proses permohonan.

1. Mengapa anak-anak muda terutamanya mahasiswa menganggur yang hadir dengan harapan besar untuk mencari kerja perlu dibebankan lagi? Bayangkan sekiranya mereka yang hadir ini datang dari jauh dan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli borang pemohonan tersebut?

2. Penganjuran seumpama ini tidak sepatutnya dianjurkan dan seharusnya terdapat satu pihak yang perlu dirujuk dan memberi kebenaran sebelum sesuatu karnival dapat dijalankan.

3. Kebanyakan syarikat yang terlibat tidak kesemuanya mencari pekerja, tetapi untuk menjual produk syarikat. Ekspo mencari kerja ternyata telah lari daripada matlamat penganjurannya dan telah menganiaya mereka yang gigih mencari pekerjaan.

4. Kebanyakan mereka yang hadir terdiri daripada siswazah dan mereka yang menganggur, namun pihak yang tidak bertanggungjawab ini dengan rasa tidak bersalah telah mengambil kesempatan dengan apa yang berlaku.

5. Dalam situasi keadaan ekonomi negara yang semakin kritikal, kita dapat lihat terlalu ramai di kalangan siswazah hari ini banyak yang menganggur kerana peluang pekerjaan yang tidak banyak.

Apa yang telah kerajaan lakukan untuk mengatasi permasalahan ini?

6. Kerajaan negeri Kedah tidak boleh berlepas tangan dalam insiden seperti ini. Penafian penglibatan kerajaan negeri Kedah Ekspo ini oleh exconya, Datuk Norsabrina Mohd Noor, selaku Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah, hanya muncul selepas kejadian sudahpun berlaku, sedangkan sewaktu promosi ekspo ini dilakukan secara besar-besaran dengan menggunakan gambar Menteri Besar Kedah dan memberikan gambaran seolah-olah ekspo ini dinaungi oleh kerajaan negeri Kedah, tiada pula penafian dibuat atau sebarang tindakan dilakukan terhadap penganjur ekspo. Kerajaan negeri Kedah tidak boleh mengambil sikap berlepas tangan hanya setelah 'nasi menjadi bubur'.

7. Saya amat berharap perkara seumpama ini tidak berulang lagi kerana ia seolah-olah menipu graduan dan anak-anak kuda yang dahagakan pekerjaan, serta memberi harapan palsu kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan, sebagaimana harapan palsu diberikan oleh Barisan Nasional kepada rakyat Kedah sejurus sebelum Pilihanraya Umum ke 13 pada tahun 2013 dahulu.

Malah saya ingin menggesa kerajaan negeri Kedah supaya memberikan cadangan penyelesaian yang lebih praktikal supaya masalah lambakan graduan yang menganggur ini dapat di atasi segera.


SAIFUL IZHAM RAMLI adalah Pengarah Strategi PKR Kedah.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS