Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Banyak jalan raya yang berlubang, tidak berkualiti dan tidak memuaskan telah mengundang rungutan di kalangan pengguna jalan raya.

Ia menjadi punca kenderaan rosak, malah lebih malang sehingga mengakibatkan kemalangan.

Saya sendiri telah meninjau beberapa kawasan di Hutan Melintang dan mengakui memang banyak jalan rosak seperti berlubang dan tidak sekata.

Terlalu banyak jalan yang diselenggara oleh pelbagai pihak untuk dipersalahkan.

Sebagai contoh jalan negeri diselenggara oleh kerajaan negeri, jalan persekutuan oleh kerajaan pusat dan lebuh raya oleh syarikat konsesi.

Begitu sukar untuk orang ramai menggesa pihak yang sepatutnya bertanggungjawab supaya dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi sebarang permasalahan jalan raya.

Isu jalan rosak bukan perkara asing dan ia tidak boleh dipandang ringan.

Ini memandangkan ia mampu membahayakan beribu-ribu nyawa yang menggunakannya terutamanya di lebuh raya.

Jika dilihat statistik setiap tahun, kemalangan jalan raya meningkat saban hari. Salah satu puncanya adalah disebabkan jalan yang bermasalah.

Pihak berkuasa harus tegas terhadap spesifikasi yang ditetapkan. Mereka perlu melakukan sistem integrasi berbentuk aduan.

Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing daripada segi penguatkuasaan, penyelenggaraan dan pembaikan jalan supaya segala masalah ini dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

Malah, baru-baru ini juga Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memperkenal kaedah turapan teknologi baharu yang dikatakan lebih berdaya tahan bagi mengatasi masalah jalan berlubang di seluruh negara.

Teknologi ini perlu diperluaskan lagi di jalan-jalan seluruh negeri.

Bukankah sepatutnya setiap kali pilihan raya semakin hampir, kebiasaannya akan dapat dilihat jalan diturap?

Namun saya belum nampak lagi tanda-tanda itu, adakah ini menunjukkan kerajaan sudah tiada wang?


KESAVAN SUBRAMANIAM anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang daripada PKR.

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS