Seorang ahli politik biasa, menggunakan ayat yang tidak konsisten dengan kenyataan, kerana mereka mahu melihat kenyataan dalam konteksnya, bukan pada pandangan orang ramai.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Salleh, dalam Utus an Malaysia , 24 Ogos lalu, ketika mengulas mengenai ura-ura rombakan kabinet, dipetik sebagai berkata: "Saya ini jarang marah dan jarang hendak pijak atau bergesel dengan mana-mana pihak, kerana itu orientasi saya sejak dahulu."
Kenyataan itu tentunya tidak konsisten dengan kebenaran kerana beliau secara jelas marahkan Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Zohardie Bardaie dan mahukan beliau meletakkan jawatan.
Dr Shafie juga bergesel dengan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Ghazali sehingga menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat salahlaku Naib Canselor itu, kononnya melakukan penyelewengan dan menyembunyikan beberapa perkara.
Kebanyakan ahli politik, khususnya di kalangan Pemuda mengetahui yang Dr Shafie juga bergesel dengan Setiausaha Parlimen, Datuk Dr Adham Baba, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Yahya Nordin dan Pengerusi Biro Pendidikan Umno, Ikmal Hisham.
Selain itu, beliau juga dikatakan tidak sehaluan dengan rakan kabinetnya seperti Datuk Mustapa Mohamad dan Datuk Dr Jamaluddin Jarjis. Menurut kisahnya, ini kerana Dr Shafie terlalu percaya nasihat isterinya, Datin Profersor di KUIM.
Oleh itu, kenyataan Menteri ini seakan-akan mengiyakan pantun popular yang diperkenalkan oleh Usman Awang dan pernah dibaca oleh Dr Zohardie: 'Siakap gelama ikan duri, bercakap bohong bolehkah jadi Menteri.'
Memang bercakap bohong boleh menjadi ahli politik kerana banyak ahli politik sanggup menggunakan agama demi menjayakan apa sahaja rancangannya.
Ahli politik yang terhormat, mestilah seseorang yang konsisten dalam pengucapan dan amalannya, seperti diperlihatkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pak Lah telah memperlihatkan contoh yang jelas. Misalnya, apabila beliau bercakap mengenai pentadbiran yang bersih dan politik yang sihat, maka beberapa orang yang terbabit dalam kes rasuah telah dihadapkan ke mahkamah.
