Bukan KBAT diperlukan pelajar, guru tapi...

   

Saya percaya ramai guru yang marah dan kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan yang meletakkan kelemahan mereka sebagai punca 60 peratus sekolah berhadapan masalah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang mula diperkenalkan pada 2013.

Saya cenderung menganggap kenyataan Kamalanathan itu juga mencerminkan kegagalan seorang pemimpin memiliki KBAT sehingga cenderung memilih untuk membebankan guru berbanding mengakui kelemahan Kementerian Pendidikan.

Kenyataan begini, pada saya hemat saya, turut mencerminkan sikap tidak cermat dan angkuh sebuah kementerian dalam membentuk sistem pendidikan yang sesuai dengan pembangunan masyarakat.

Kemudian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pula berkata isu murid lemah KBAT akan selesai tahun hadapan.

Kenyataan yang berpemikiran aras rendah ini saya lihat amat tergesa-gesa dan seperti mahu menutup kelemahan kenyataan awal Kamalanathan.

Perlu juga ditanya, sejauh mana pula kerajaan memahami tahap persediaan para guru yang akan melaksanakan kaedah KBAT ini di dalam kelas?

Adakah para guru ini disediakan suasana kerja yang sesuai atau golongan pendidik ini masih dilambakkan dengan pelbagai tugasan perkeranian yang tiada kaitan dengan tugas hakiki mereka?

Sepatutnya perkara inilah yang paling utama kerajaan tangani. Bukannya melambakkan guru dengan pelbagai sistem dan peraturan yang tergesa-gesa kononnya mahu segera berdiri setaraf dengan negara maju.

Saya melihat golongan pendidik dan pelajar sering menjadi mangsa kepada sistem pendidikan yang bercelaru yang dilancarkan oleh kerajaan sehingga kita tidak nampak apakah falsafah dan asas pendidikan sebenar negara ini.

Sebenarnya pelajar dan guru bukan memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi. Sebaliknya adalah kemahiran berfikir dengan betul dan baik.

Begitu ramai yang berfikir dengan tahap tinggi tetapi akhirnya tindakan yang diambil lebih banyak menyusahkan masyarakat dan negara.


DR SITI MARIAH MAHMUD ialah anggota parlimen Kota Raja merangkap ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat