Paling Popular
Terkini

Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) melahirkan sokongan dan usaha Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisam Samsudin yang berhasrat untu meneroka projek pembangunan hartanah di atas tanah milik KTMB berdekatan stesen-stesennya di Lembah Kelang yang bernilai RM6 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Kenyataan ini sudah pun dipaparkan dalam semua akhbar dan media elektronik.

KPPKTMB amat berbangga dengan cetusan idea inovatif yang diutarakan Mohd Rani. Usaha ini adalah satu anjakan kepada struktur perniagaan KTMB yang mampu melonjakkan syarikat ke destinasi perniagaan yang mencapai keuntungan.

KPPKTMB berpendapat idea inovatif ini tidak akan berjaya jika Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) dilaksanakan kerana kewujudannya memberi kuasa mutlak kepada Perbadanan Aset Kereta (PAK) untuk mementukan sebarang pembangunan yang hanya menguntungkan mereka.

RNAA yang bakal diwujudkan ini secara negatifnya hanya menguntungkan PAK dan mengancam pembangunan KTMB malah idea Mohd Rani sukar dicapai.

Justeru kerajaan hendaklah membubarkan PAK dan menyerapkan mereka di bawah salah satu jabatan dalam KTMB. Semua pemilikan aset yang ada pula dikembalikan kepada KTMB bagi memastikan matlamat pembangunan melalui idea Mohd Rani mejadi kenyataan.

Kerajaan perlu memberi ruang kepada Mohd Rani untuk membuktikan ideanya boleh terlaksana, apatah lagi pelantikannya dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kepercayaan perdana menteri mesti diselarikan dengan memberi kepercayaan kepada KTMB untuk berubah kepada struktur perniagaan yang lebih luas berbanding hanya bidang operasi pengangkutan.

Sudah sampai masanya bidang perniagaan KTMB diolah menjadi lebih global, bukan saja dalam bidang hartanah malah sehingga menjadi pengeluar lokomotif, set komuter ETS dan sebagainya.

KPPKTMB ingin menekankan bahawa RNAA hendaklah dibatalkan kerana ia boleh dianggap sebagai "idea korup" yang bukan saja menjahanamkan kereta api malah memberi implikasi kepada perkhidmatan sosial terhadap pengguna, khususnya yang menggunakan perkhidmatan KTMB.


ABDUL RAZAK MD HASSAN ialah presiden KPPKTMB.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS