Paling Popular
Terkini

Mesej tersirat yang disampaikan oleh masyarakat kepada anak muda adalah bahawa anak muda tidak diperlukan, bahawa masyarakat akan berfungsi dengan normal sehingga mereka – pada masa depan – mengambil alih pucuk pimpinan. Pada hakikatnya, masyarakat dewasa ini tidak berfungsi dengan baik… kita memerlukan segala tenaga kerja, imaginasi dan bakat anak muda untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Tidak munasabah jika masyarakat masih berdegil untuk menyelesaikan masalah tanpa partisipasi penuh anak muda.” – Alvin Toffler, penulis

 

Pertandingan menawan hati dan undi anak muda sempena pilihan raya umum (PRU) Ke-14 semakin hangat. Kerajaan dan pembangkang giat berusaha menjadi “cool” melalui acara townhall seperti Tranformasi Nasional 50 (TN50) dan “What Say Youth” anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN).

Memang wajar agenda anak muda dibawa ke depan. Namun saya masih skeptikal.

Sebelum pilihan raya, agenda anak muda dititikberatkan; selepas pilihan raya, diabaikan pula.

Sembang pilihan raya akan kekal sebagai sembang sahaja, jika tiada langkah kukuh untuk memastikan anak muda mempunyai suara dalam hal anak muda.

Antara mendengar dan didengari

Tahun 2017 melihat arus anti-establishment yang banyak dipengaruhi anak muda. Idea dan tawaran Bernie Sanders dan Jeremy Corbyn mendapat sokongan padu dan memberi harapan kepada anak muda yang sedang bergelut dengan beban hutang pendidikan tinggi dan masalah pengangguran.

Pemimpin muda seperti Emmanuel Macron, Sebastian Kurz dan Jacinda Adern juga muncul, menggugah stereotaip umur dan status sosial.

Di Malaysia, 3.7 juta anak muda masih belum mendaftar sebagai pengundi. Politik kita seperti ketandusan wajah dan idea baru. Namun, harus diakui yang tidak realistik untuk kita mengimpikan Justin Trudeau versi Malaysia sedangkan anak muda kita diperlekehkan.

Sejak kecil, anak muda disuruh diam dan menerima apa sahaja yang dikatakan oleh orang dewasa.

Apabila kami bersuara, kami ditahan di bawah undang-undang seperti Akta Universiti Kolej dan Universiti (AUKU). Apabila tindakan undang-undang gagal memalapkan semangat anak muda, mereka cuba mengalihkan perhatian kami dengan menggunakan keselesaan kehidupan sebagai seorang profesional. Kata mereka, belajar dulu, berpolitik kemudian.

Hari ini, kami diberitahu yang kerajaan dan pembangkang tiada bezanya – dua kali lima sahaja. Jadi apa gunanya ubah kerajaan?
Buatlah kerja amal – misalnya memberi makanan kepada gelandangan, malam ini juga! Hasilnya segera: si gelandangan kenyang, ego pun kenyang. Tak perlu duduk dalam mesyuarat yang panjang dan membosankan, debat di Dewan Rakyat, ataupun mengundi.

Inilah mesej tersirat; tinggalkan politik kepada orang dewasa. Mereka lebih mengetahui.

Maka, anak muda Malaysia berpindah ke dunia media sosial. Namun, kami masih perlu mengutarakan harapan dan idea di ruang awam dan fizikal, terutama dalam isu berkaitan diri kami sendiri.

Ruang untuk 'generasi strawberi'

Sempena Hari Kanak-kanak Sedunia, Unicef telah membuat tinjauan global melibatkan 11,733 kanak-kanak dan remaja. Peserta dari Malaysia amat yakin bahawa dunia akan bertambah baik jika orang dewasa mengambil kira pendapat mereka. Namun, mereka kurang yakin yang ia berlaku.

Selain itu, hanya 47 peratus percaya pemimpin masa kini berupaya membuat keputusan yang baik.

Anak muda ialah pemimpin masa depan yang wajib dilatih hari ini. Langkah pertama adalah memberi ruang untuk anak muda menyuarakan pendapat, terutamanya berkenaan isu mereka sendiri.

Ketika forum “Bolehkah golongan millennial selamatkan Malaysia?” anjuran pejabat saya, kami meluangkan lebih daripada separuh masa untuk anak muda menyuarakan pendapat dan bertanya soalan kepada panelis termasuk saya sendiri. Tidak mudah untuk menjawab, kerana anak muda lebih kritikal dalam soal kerajaan dan politik.

Siri tayangan filem dan dialog yang dinamakan #Wayang anjuran kami tiada penceramah atau pensyarah, hanya seorang fasilitator jemputan supaya para hadirin digalakkan bersuara. Anak-anak muda ini tidak mengikuti politik, malah ada yang belum daftar sebagai pengundi kerana lesu dengan perbalahan politik. Namun, mereka mempunyai pandangan dan pendirian yang bernas mengenai isu semasa.

Apakah yang kurang dalam dialog kebangsaan? Tidak lain dan tidak bukan, ruang untuk anak muda bersuara.

Negara pada masa depan

Secara umum, anak muda dari pelbagai latar belakang sedang mengalami masalah yang berpunca daripada kegagalan sistem dan urus tadbir kerajaan.

Jika anak muda mampu bersatu, kita boleh membuat keputusan bersama untuk menamatkan idea dan budaya politik yang telah melepasi tarikh luputnya. Misalnya politik kaum dan agama.

Tidak cukup untuk kita, selaku anak muda, hanya mengecam ahli politik tua sebagai tidak relevan. Kita juga harus membawa visi sendiri untuk negara yang dicintai ini. Apakah Malaysia yang kita mahukan untuk sepuluh atau 30 tahun akan datang?

Inilah persoalan penting yang dijawab anak muda. Maka kami memerlukan ruang dan sokongan secukupnya untuk menjawabnya. Dengan itu, dapatlah kita dapat memupuk pemimpin yang mampu menangani dan mencari penyelesaian kepada persoalan ini.


LIM YI WEI merupakan setiausaha politik Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, dan juga Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kenyataan ini adalah pandangan peribadi pihak yang mengeluarkannya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS