Akhirnya, kita dapat lihat bahawa sesetengah pembaca yang mengaku Islam (moden/sekular?) yang hanya menggunakan akal logik dan saintifik, terang-terang menolak sesetengah Hadis dengan mengatakan ia tidak lagi sesuai digunakan untuk zaman ini.
Sememangnya zaman ini amat berlainan dari zaman Nabi Muhammad (SAW). Tetapi harus diingat, bahawa agama Islam adalah berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Mereka yang menolak Hadis atau sebahagian daripada Hadis, tidaklah menepati landasan agama Islam yang sebenar. Kita tidak menyentuh tentang Hadis daif atau Hadis palsu.
Adakah mereka ini juga menolak Nabi Muhammad sebagai Nabi akhir zaman? Andaikata sememangnya mana-mana Hadis tersebut, tidak sesuai dipakai di zaman ini, kenapa pula Allah tidak mengutuskan seorang lagi nabi selepas Nabi Muhammad (SAW)? Jika ditolak sebahagian Hadis yang sahih, maka siapakah mereka yang berhak untuk menolak hadis-hadis tersebut?
Adakah penolakan hadis sahih pernah dilakukan oleh ulama-ulama muktabar yang empat tersebut? Tidaklah menghairankan apabila akhirnya, Ahli Sunni pula menjadi tajuk pertikaian kerana sememangnya agama ini telah berpecah kepada lebih 70 cabang yang sesat, masing-masing mengaku aliran mereka yang betul.
Untuk kembali melihat agama yang sebenar, hanya satu yang harus dilakukan, iaitu kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad, Nabi akhir zaman (dan tidak mengamalkan tokok tambah mengikut adat tok nenek).
