Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Soalan tahun baru: Apa yang baru dengan Pakatan Harapan?

Setiap pagi saya bangun dari tidur, saya akan tertanya apakah hari ini akan diumum pembubaran parlimen untuk beri laluan kepada pilihan raya? Rupanya ghairah untuk mengundi kali pertama ini boleh tahan juga. Dan terus-terang, saya pasti mahu undi Pakatan Harapan.

Sejak dua menjak ini, saya selalu juga berjumpa dengan kawan-kawan lepak dan kadangkala kami berborak sampai termasuklah topik politik dan pasal hendak mengundi. Ada kawan yang sokong BN, ada yang sokong HARAPAN.

Baru-baru ini pada malam tahun baru, kami keluar naik kereta bersama dan lepak di bahu jalan AKLEH sebab hendak tengok bunga api dekat KLCC. Ceritanya sebab sampai awal; kami pun bersembang di tepi jalan sampailah masuk bab politik.

Macam-macam jugalah yang kami bincangkan; ada kawan kata BN sudah buat macam-macam untuk kita. Ada pula yang cepat menyanggah dengan menyebut semua masalah yang ditimbulkan Najib Razak dan BN. Sembang kami ini sehinggalah membawa kepada isu kos sara hidup yang tinggi dan pastinya masalah rasuah yang banyak dalam Umno dan BN. Akhirnya kami secara longgar agak bersetuju bahawa perlunya berlaku perubahan kerajaan di Malaysia.

Kawan kami yang sokong BN tadi bertanya:

Korang sokong Pakatan sangat ini, apa benda baru yang korang nak bawa?”

Aku pun jawablah dengan bersungguh-sungguh.

“Macam-macam, kita nak hapus GST, kita nak hapus tol, kita nak lawan rasuah, nak bebas Anwar Ibrahim lepas itu kita nak bagi perdana menteri baru yang baguslah!”

“Ok-lah korang nak buat semua itu. Tapi aku tengok tiada apa yang baru pun. Kata nak pembaharuan, sama saja!” kawan kami yang tadi membalas.

Aku dan kawan lain terpingga. Dia pun terus berceloteh,

“Kalau hendak baru, biar betul-betul barulah! Cerita hendak hapus itu ini aku dah dengar dari dulu lagi. Tapi ini balik-balik Anwar, Kit Siang, Kak Wan. Hadi Awang tu memang kita tak peduli dah. Sekarang ini korang nak ambil Tun M yang 92 tahun jadi PM. Apa korang ini tak ada orang lain ke? Apa dalam Pakatan Harapan korang itu kena pusing-pusing guna orang-orang tua yang sama ke?“

“Cuba kau tengok Umno, mana ada Najib ke, Zahid ke letak anak jadi anggota parlimen untuk jadi pewaris. Korang tengok Pakatan. DAP ada Kit Siang bagi kat Guan Eng. Tun M sibuk nak jaga Mukhriz. Anwar pula nak bagi isteri tak pun Nurul Izzah. Umno pun dah tak nepotisme macam dulu! Semua dah pindah ke Pakatan Hrapan,” tergelak-gelak kawan kami itu berhujah.

Dia sambung:

“Aku ini pertama kali juga hendak mengundi. Aku pun bukan tak baca pasal 1MDB dan Felda ini semua. Aku yang baru grad ini pun tengah susah cari kerja. Tapi korang kata hendak bawa perubahan, nak ubah negara, nak buat yang baru. Kenapa korang nak angkat orang-orang yang lama? Apa korang ini tak ada ke orang baru? Apa selama 20 tahun reformasi, korang ini jadi pembangkang tak ada ke pemimpin baru yang muda sikit yang korang boleh tawar jadi PM? Kalau korang masih nak bagi Tun M jadi PM atau balik-balik Anwar, lebih baik aku undi BN! Sebab undi Pakatan Harapan pun bukan ada benda baru, semuanya kitar semula!”

Korang kalau hendak undi aku, pastikan calon PM yang muda sikit. Calon yang memang kita tengok yakin dan terbukti boleh buat kerja. Tak ada dosa-dosa dulu. Lepas itu tak adalah nampak nepotismenya. Biar muka baru, yang rakyat terutamanya orang muda macam kita ini dapat terima. Tun M, Anwar, Kit Siang, Kak Wan ini semua boleh tolong kempenlah. Kempen kuat-kuat ajak rakyat berubah, bukan berebut hendak jadi PM. Letak calon PM yang muda dan terbukti, baru korang boleh dapat undi aku!” dengan tegas kawan kami bercakap.

Aku pun mula mencelah.

“Habis itu, kau hendak siapa dari PH jadi PM?”

“Eh, itu korang kena fikir sendirilah! Kalau aku beritahu nanti, habislah kalah BN!” tersengih-sengih kawan kami itu berseloroh.

Tak lama selepas itu, dentuman pun mula kendengaran dan percikan bunga api yang pelbagai warna dan corak memenuhi ruang angkasa berlatar belakangkan bangunan pencakar langit KLCC dan ibu kota Kuala Lumpur. Kami pun mula mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam instastory masing-masing bagi menandai permulaan tahun baru 2018 buat diri kami.


AMER HAMZAH, seorang millineal yang mahu undi Pakatan Harapan buat pertama kali.

Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS