Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Rakyat Malaysia rata-ratanya sedar bahawa tahun ini adalah tahun pilihan raya umum (PRU).

Melihat kepada strategi parti-parti politik yang kini rata-rata ahlinya sedang giat untuk mempromosikan diri ke setiap negeri di seluruh Malaysia, jelas sekali dilihat bahawa parti-parti ini sedang cuba untuk memenangi hati rakyat.

Ini adalah senario biasa yang akan berlaku apabila menjelangnya musim pilihan raya. Ini adalah permulaan kepada pertarungan secara sihat negara ini dalam menghadapi PRU bagi menentukan siapakah yang bakal memimpin negara yang menjulang tinggi nilai demokrasi berparlimen ini.

Setiap parti politik pasti sedang bersedia dengan pelbagai persiapan, yakni strategi utuh untuk memenangi PRU kali ini.

Politik sihat sebegini ialah amalan tradisi di Malaysia. Namun begitu, menjadi harapan besar warga Malaysia agar pada PRU kali ini, elemen perpaduan menjadi teras paling utuh dalam setiap tingkah laku.

Banyak pendapat mengatakan politik adalah pemecah perpaduan. Justeru, PRU kali ini harus menjadi tempat untuk mereka yang terlibat dalam politik meletakkan perpaduan sebagai manifesto utama rakyat Malaysia supaya menghakis fahaman yang menganggap politik sebagai pemecah perpaduan.

Seperti gagasan 1Malaysia dilaungkan sebagai ideologi yang menyatukan, beberapa inisiatif lain kerajaan seperti Transformasi Nasional 50 dan #negaraku juga dilihat sebagai antara manifestasi perpaduan yang boleh ditiupkan untuk menyuntik semangat perpaduan dalam negara pelbagai etnik ini.

Tetapi mustahil untuk segala yang digagaskan oleh kerajaan yang memerintah pada masa kini akan diambil oleh parti pembangkang kerana perbezaan ideologi yang wujud antara parti politik tidak ubah seperti lautan di selat Gibraltar yang air lautnya tidak bercampur walaupun dalam lautan yang sama.

Keegoan ini akan menjadikan ideologi yang bermotifkan perpaduan dan bertunjangkan masyarakat menjadi sesuatu yang sukar untuk diterima masyarakat.

Lantaran itu, kita harus memikirkan alternatif bagi memastikan tunjang perpaduan dapat dikekalkan sebagai manifestasi dalam kalangan masyarakat.

Wawasan 2020 yang juga menekankan perpaduan turut dilihat sebagai sesuatu yang menarik sebagai manifestasi perpaduan.

Walaupun banyak suara mengatakan bahawa kita sudah hampir mustahil untuk merealisasikan wawasan ini tetapi dari sudut perpaduan ia masih lagi relevan.

Bagaimanapun, pihak kerajaan semestinya lebih berminat dengan TN50 berbanding Wawasan 2020 yang kini seakan satu halangan dalam karier politik kerajaan masa kini.

Sehubungan dengan itu, Wawasan 2020 hanya relevan untuk digunakan parti politik pembangkang dan tidak bersifat menyeluruh sekiranya kerajaan tidak berminat terhadap ideologi ini sebagai manifestasi.

Secara jujur, ideologi nasional yang paling utuh untuk dijadikan manifestasi perpaduan oleh kedua-kedua pihak (kerajaan atau pembangkang) ialah falsafah kebangsaan kita iaitu Rukun Negara.

Ia bukan sahaja relevan untuk BN yang dipimpin oleh anakanda kepada pencetus idea Rukun Negara sebaliknya sesuai buat pembangkang termasuklah PAS yang merupakan antara sebahagian ahli Majlis Perundingan Negara yang menyokong pembentukan Rukun Negara suatu masa dahulu.

Rukun Negara ialah falsafah yang dibina atas semangat persaudaraan dan perpaduan yang paling tinggi menjangkaui parti politik pada masa dahulu dan ia tetap relevan hingg kini.

Falsafah kebangsaan ini dilengkapi dengan penuh nilai perpaduan dan nilai budaya bangsa secara keseluruhan.

Lihat sahaja pada lima cita-cita yang ingin dicapai oleh Rukun Negara iaitu cita-cita pertama untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya.

Pada matlamat pertama sahaja ia telah menunjukkan perpaduan sebagai manifestasi utama.

Jika Rukun Negara diangkat sebagai manifesto baik oleh kerajaan mahupun pembangkan, nescaya matlamat untuk meningkatkan perpaduan akan menjadi wadah utama perjuangan mana-mana parti pun di Malaysia ini.

Matlamat kedua Rukun Negara ialah memelihara cara hidup demokratik dan ia cita-cita yang sangat berkaitan khususnya dalam pilihan raya.

Melihat kepada beberapa cita-cita lain, dan prinsip-prinsip Rukun Negara jelas mengajak masyarakat ke arah budaya tinggi selari dengan apa yang dimpikan oleh gagasan 1Malaysia, Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 50.

Oleh yang demikian, menjadi harapan masyarakat secara keseluruhannya agar parti-parti politik yang akan terlibat dan bertanding dalam PRU tahun ini untuk mengangkat Rukun Negara sebagai manifesto utama dalam memperjuangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Besarlah harapan untuk melihat roh Rukun Negara dijadikan semangat dalam kempen-kempen parti politik yang benar-benar ingin memperjuangkan perpaduan sekiranya diberi peluang memerintah negara pelbagai kaum ini.

Semoga perpaduan tidak akan dilupakan dan semoga falsfah kebangsaan diangkat sebagai ideologi bersama tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.


ISHAK SAIROZI ialah eksekutif Yayasan 1Malaysia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS