Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Amboi bukan main lagi ya?

Maka hebohlah satu Malaysia di pertengahan Januari 2017. Kembali berputar isu lapuk tentang jantina yang seolah olah fenomena baharu, pelik dan segar.

Padahal para transgender sudah lama berkongsi ruang hidup dengan cisgender Malaysia sejak zaman berzaman. Dunia baharu, zaman baharu, nyatanya eksitensialiti mereka menjadi semakin jelas nyata. Mahu tumpang bernafas dan visible.

Cousin I ada seorang macam you.

Setakat itu sahaja pemahaman kamu para cisgender?

Isu ini bukanlah sesegar mana pun kerana sekitar tahun dua ribuan lagi sudah muncul kes bila Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan kesemua empat permohonan yang difailkan Prof Dr Baharom Sanugi, guru besar yang tiba-tiba meragui jantina isterinya Sri Wani Choo Abdullah yang merupakan pengasas kosmetik di Malaysia sekitar bulan Ogos 2012.

Percayalah hingga kini kita masih meragui jantina Sri Wani. Sebelum itu tidak kurang hebohnya di tahun 2009 setelah kematian pengarah filem wanita prolifik negara apabila jantinanya dipertikai dengan cara yang sama.

Isu isu neraka, syurga, hukum dan hakam mula bermain di bibir para netizen cisgender yang bermulut celupar, sehingga terlupa pada maksud kalimah bismillahirahmanirahim, Ya Tuhanku yang maha pengasih dan penyayang.

Pembukaan tahun di pertengahan Januari 2018 kita disapa oleh hal yang lebih kurang sama tetapi melibatkan individu yang tiada kaitan, penulis blog terkemuka Papagomo@Sir Azri yang menuduh Nur Sajat yang juga pengasas kosmetik untuk mengisytiharkan jantina beliau sama ada perempuan atau lelaki, digunakan terma kasar yakni pondan.

Tidakkah ia sesuatu yang pelik, untuk zaman yang serba maju ini? Kenapa pula dia harus berhempas pulas pada kesahihan jantina orang?

Apakah logiknya bila dia mengatakan bahawa ia didasari oleh tanggung jawab terhadap bangsa, budaya dan agama?

Apakah fenomena gangguan pondan hanya dihadapi oleh negara Malaysia?

Masyarakat awam kemudiannya jadi keliru untuk apa semua ini? Berdebar ketakutan ibu bapa dan para waris melihat anak anak di sekeliling sambil memanjatkan doa,“janganlah ini semua terjadi pada anak anak aku”.

“Kita memang perempuan, wak!”

Dialog lucu yang sering didengari sekiranya kamu berhimpun dengan golongan mak nyah. Tidak lain tidak bukan ia dianggap sebagai jenaka semata-mata. Namun konotasi ini ada ketikanya menjadi sangat serius secara psikologi.

Menurut ahli ginekologi Prof Datuk Dr Khairuddin Yusuf yang pernah melibatkan diri dengan sekumpulan mak nyah yang menukar jantina di sekitar tahun 80-an:

“Status jantina kelompok ini perlu diserahkan kepada ahli perubatan. Sekiranya hormon perempuan adalah lebih, maka perempuanlah dia sekalipun secara biologinya lahir sebagai lelaki.”

Pembedahan jantina di Malaysia sudah dihentikan apabila fatwa melarang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam. Ramai transnita memilih untuk menjalani pembedahan di luar negara.

Kempen kempen tentang seksualiti sudah memperkenalkan pengertian SOGIE (orientasi seksual, identiti gender dan ekspresi) agar timbul semangat toleran demi kesejahteraan sesama manusia.

Namun tidak semua dapat menerima secara bulat kerana ia melibatkan hal hal budaya, agama dan binaan konstruk sosial yang tebal di kalangan lelaki dan perempuan cisgender.

Kenapa mengaku perempuan?

Suatu ketika dahulu di Malaysia kaum mak nyah yang sudah menjalani SCS (pembedahan jantina atau sexual confirmation sugery) dibenarkan menukar kad pengenalan termasuk di bahagian jantina mereka.

Hal ini sudah tidak berlaku lagi sebaik sahaja masuk tahun 1997 atas sebab sebab yang hanya boleh diterangkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. (hal yang sama sudah disentuh dalam Buku Mak Nyah terbitan Terfaktab).

Kejadian terbaharu yang melibatkan tiga pihak yakni Papagomo, Nur Sajat dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuatkan negara jadi sedikit heboh.

Tempoh sebulan yang diminta oleh JAKIM untuk menyiasat jantina Nur Sajat kedengaran seolah olah sesuatu yang lucu bagi ramai pihak termasuk para LGBT dan cisgender.

Ada yang mengatakan ianya tidak masuk akal, melanggar hak asasi manusia dan dijadikan bahan ketawa perli. Maka berpusu pusu warga Internet mula menyalin lekat berita berita tersebut sambil mengundang pelbagai komentar yang tidak sihat, “Aapa susah? Selak, belek sajalah!”

Bunyinya sangat menghina, lucu malah tidak adil pada manusia bergender ketiga yakni mak nyah/transnita.

Kita semua bagaikan terlupa seketika bahawa LGBT dilahirkan oleh dua cisgender normal mulia yang bersetubuh. Cisgender yang leka masih bernostalgia dengan pembentukan sosial mereka.

Mari kita lihat fenomena sebegini di kalangan kaum mak nyah, mereka sudah tentu merasa terpukul. Selama ini mereka tidak pernah meminta hak istimewa, mereka hanya memohon hak sama rata sebagai warganegara.

Jadi adalah tidak wajar untuk mereka ini diketepikan begitu sahaja.

Kenapa ada mak nyah yang mengaku perempuan?

  1. Memudahkan urusan harian mereka. Bergerak, beribadat dan bekerja sama dengan cisgender tidak kira dalam bidang apa sekalipun tanpa ada hadangan dari segi jantina atau pertikaian.

  2. Gangguan HRT (terapi hormon gantian) yang sudah diambil membuatkan mereka tidak merasa diri sebagai lelaki lagi. Jangan tidak tahu ada juga yang tidak selesa untuk bercampur dengan kaum mak nyah lagi.

  3. Akses mereka yang mampu menukar kad pengenalan diri (bukan surat wanita yang diberikan oleh hospital setelah pembedahan). Mana tahu mereka sudah memperoleh kad pengenalan wanita secara senyap-senyap?

  4. Perjuangan peribadi mereka setelah menyempurnakan proses fizikal sebagai wanita (tidak kira melalui HRT atau pembedahan) termasuk berjati diri sebagai wanita cisgender.

  5. Ada mak nyah yang secara tidak langsung mahu menurut nilai nilai perempuan cisgender agar lebih diterima. Bertudung litup dan bergerak sebagai wanita asli.

Hal yang sama pasti akan berulang ulang menjadi berita panas di masa akan datang. Berita bagaimana individu X permintaan menukar kad pengenalannya ditolak oleh mahkamah, berita penipuan pada sang suami atau tunangan, tangkap basah yang keliru kerana ke dua dua mereka berkad pengenalan lelaki.

itu belum lagi masuk hal hal terma yang salah dan keliru dimengertikan oleh para cisgender tentang crossdresser, transvestite, shemale dan lady boy.

Atas dasar hal tersebut fenomena ini akan kekal menjadi berita sensasi selagi kita tidak melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang jantina dan seksualiti.

Ini belum lagi perbalahan tentang kenyataan bahawa jantina bukan diukur dengan genetalia di celah kangkang tetapi apa yang diterjemahkan di otak manusia.

Buat masa ini kita masih lagi mengerut dahi dan mentertawakan suasana tersebut. Pembuktian jantina yang mahu dilakukan oleh JAKIM atas permintaan seorang individu yang tidak kurang dashyat palitan kisah kisah peribadi yang menjengkelkan, adalah sesuatu yang dirasakan tidak masuk akal sebenarnya.

Entah apa tujuannya?

Penulis yang sudah menjalankan SCS setakat ini tidak mempunyai masalah apabila berhubung dengan cisgender apabila bertugas. Penolakan akan tetap ada, tetapi itu semua sudah sedia dimaklumi dengan jelas.

Kerja kerja advokasi terhadap masyarakat tentang jantina dilangsungkan tanpa sekatan. Bukan menjual nilai, tetapi usaha memberikan kefahaman pada ibu bapa tentang yang kemungkinan berdilema untuk membesarkan anak anak LGBT.

Mereka yang menjalani kehidupan sebagai transnita, pula sering dinasihatkan (sekiranya mereka menjalani sesi kauseling sebelum SCS) agar benar benar faham pada tuntutan undang undang negara/negeri, hal-hal syariah dan pendaftaran kad pengenalan yang setakat ini belum boleh dirombak, ini semua adalah hal hal penting sebelum mereka menjalani SCS.

Mereka para transnita harus yakin dengan diri, sehingga berkemampuan berkata: “Ya, saya transnita kalau ada apa apa soalan encik boleh bertanya pada saya secara terus terang.”

Percayalah ramai para cisgender di luar sana minda mereka masih bersarang dengan pelbagai persoalan tentang transnita. Dari persoalan remeh sehinggalah perkara perkara yang besar sulit.

Apabila memasuki bab penerimaan, selalu ingin dinasihatkan pada transnita bahawa penerimaan adalah sesuatu hal yang berat, penerimaan tidak boleh dipaksa, tetapi kita tanpa mengira jantina akan memohon paling tidak pada peningkatan tahap toleransi yang selesa sewaktu menjalani kehidupan bersama sama di dunia ini.

Harus ingat jantina bukanlah hal yang diminta, jantina dikurniakan oleh pencipta. Suka tidak suka kita akan berhadapan dengan para heteroseksual, homoseksual, panseksual, skolioseksual dan aseksual. Apa agaknya bunyi bunyi pelik tersebut?

Ah! Suatu lagi ruang untuk kita sama sama mencari.


REGINA IBRAHIM sudah menghasilkan beberapa buku tentang seksualiti antaranya Perjalanan, Lebih Duka Dari Suka, Buku Mak Nyah dan Budiman.
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS