Sikap mahu membolot jawatan di kalangan orang politik di negara ini bukan perkara baru. Terkini, kita saksikan Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Reezal Merican Naina Marican, mahu bertanding merebut teraju pertubuhan tersebut.
Saya tidak ada apa-apa kepentingan dengan GPMS tetapi berasa marah dan bimbang melihat kerakusan orang politik. Sejarah menunjukkan pertubuhan belia, budaya dan badan sukan yang dikuasai pemimpin politik, akhirnya tidak mencapai kemajuan.
Lihat lah apa hasil di bidang sukan yang masih dibolot oleh ahli-ahli politik. Wang habis, hasil tidak sampai ke mana. Sebaliknya badan-badan ini dijadikan batu loncatan untuk ahli politik menjadi wakil rakyat, ketua menteri, menteri dan berebut jawatan.
Inilah punca kemunduran orang Melayu, dikongkong menerusi pelbagai cara oleh orang politik yang berada di sana-sini mencari pengaruh. Soalnya, adakah ini caranya kita hendak membentuk Melayu Glokal yang dilaung-laungkan itu.
Kita kenalah insaf bahawa sistem serupa ini yang telah diamalkan di Russia, Jerman Timur, Bulgaria atau Vietnam Utara sudah lama lenyap. Kalau masih adapun, mungkin di Myanmar dan Korea Utara.
Sedarkan kita bahawa industri telefon bimbit adalah industri yang banyak menelan wang orang Melayu.
Kajian mendapati Melayulah paling ramai mempunyai telefon bimbit dan paling banyak berbelanja sama ada berborak-kosong atau menyertai undian SMS Malaysian Idol, Akademi Fantasia dan kuiz-kuiz SMS. Tetapi kenapa perniagaan runcit telefon bimbit di pusat-pusat belibelah dibolot oleh kaum lain.
Sektor makanan halal juga dibolot oleh bukan Melayu. Banyak lagi sektor yang boleh dikaji dan banyak yang tersirat akan terdedah. Janganlah hanya sibuk hendak berebut jawatan di sana sini.
