Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Nusantara di Moscow merayakan jubli emas Seminar Melayu-Indonesia.

Seminar itu ditubuhkan pada 21 Disember tahun 1967 di bawah naungan ahli Akademi Sains Rusia Alexander Guber di Institut Bahasa-Bahasa Timur (kini Institut Nagara-Negara Asia Afrika), Universiti Negara Moscow di mana Guber menjadi ketua Jabatan Kajian Asia Tenggara.

Kewujudan seminar itu menjadi nyata berkat inisiatif sarjana-sarjana Soviet yakni Natalia Aliyeva, Boris Parnikel dan Vilen Sikorsky yang berjaya meyakinkan ahli Alexander Guber akan keperluan seminar tetap pengajian dunia Melayu-Indonesia yang juga dikenali sebagai Nusantara, dan mendapat persetujuannya untuk menjadi penaung.

Sejak itu, setiap bulan dari September hingga Mei, ahli-ahli sains, pelajar siswazah, mahasiswa dari pelbagai universiti dan institusi penyelidikan di Moscow mendapat peluang untuk bertemu, berkongsi penemuan mereka dan hasil penyelidikan mengenai pelbagai isu dalam bidang sejarah, budaya, sastera, seni, etnografi di rantau ini.

Seminar itu mengalami banyak suka duka terutama selepas meninggalnya Alexander Guber (1971).

Pada tempoh itu seminar bahkan pernah diusir dari Universiti Moscow tetapi mujurnya sempat terus berfungsi dalam rangka Suruhanjaya Etnografi daripada Cawangan Moscow Persatuan Geografi Rusia USSR.

Sejak tahun 1990, seminar itu menjadi dasar untuk penubuhan Persatuan Nusantara dalam mana peranan utama dimainkan oleh Boris Parnikel.

Akhirnya, pada tahun 1998, selepas pendirian Pusat Nusantara di Institut Nagara-Negara Asia Afrika atas inisiatif Prof Madya Universiti Kebangaaan Dr Noriah Mohamad dengan sokongan Duta Besar Malaysia waktu itu TYT Yahya Baba, seminar Melayu-Indonesia kembali ke akar umbinya yakni Universiti Negara Moscow.

Sepanjang setengah abad yang lalu itu, sekitar 450 mesyuarat (sembilan mesyuarat setiap tahun) diadakan, termasuk persidangan khas (kadang-kadang selama dua hari) dan beberapa persidangan antarabangsa yang besar dengan pengikutan peserta dari luar negara.

Antaranya seminar “Pembinaan Kebangsaan dan Proses Kebudayaan / Sastera di Asia Tenggara” pada tahun1996.

Daripada 48 wakil asing ada 16 sarjana dari Malaysia termasuk Ismail Hussein, Muhammad Haji Salleh, Rahmah Bujang, Rahman Shaari, Hamzah Hamdani dan Ahmad Razali.

Pada tahun 1999, diadakan Kolokium Eropah mengenai Kajian Indonesia dan Melayu yang ke-XI (ECIMS).

Yang hadir dari Malaysia adalah Isahak Haron, Noriah Mohamad, Zalila Sharif dan Atiah Haji Salleh.

Ada rancangan untuk mengadakan pada tahun 2019 sebuah seminar bekerjasama dengan NUMERA Malaysia.

Selain itu, 20 buku dalam siri "Pengajian Malayu-Indonesia" diterbitkan berdasarkan kertas kerja yang dibentangkan di seminar.

Bersempena perayaan Jubli Emas Seminar itu pada awal bulan April ini diadakan pelancaran buku kumpulan ke-20 daripada siri “Kajian Melayu-Indonesia”.

Di samping artikel oleh sarjana Rusia, buku ini terkandung juga rencana yang ditulis oleh sarjana Malaysia termasuk Ahmat Adam, Irwan Abu Bakar, Talaibek Musaev dan Jamila Mohd.

Generasi pelajar dan malangnya, sarjana bertukar dan pergi tetapi seminar Melayu-Indonesia terus wujud dan diharapkan akan terus wujud lagi!


DR VICTOR A POGADAEV adalah naib presiden Persatuan Nusantara Universiti Negara Moscow. Bekas profesor madya Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya itu terlibat dalam pelbagai penerbitan kamus bahasa Melayu, Indonesia dan Rusia. Beliau adalah penyandang gelar Tokoh Persuratan NUMERA (2013), Warkah Kehormatan kerajaan Rusia untuk sumbangan terhadap perkenalan bahasa Rusia d luar negara (2014) dan anugerah sastera oleh A Poetry Initiative of Bangladesh (Kathak).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS