Paling Popular
Terkini

PRU14 | Alhamdulillah, lebih kurang jam 11 pagi semalam, saya telah diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi N51 DUN Pulai Sebatang.

Semoga dengan pencalonan itu dapatlah saya menggalas harapan rakyat Pontian selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Tahniah juga buat abah saya, Haji Cheman Yusoh yang juga telah diumumkan sebagai calon di N16 Sungai Balang mewakili PAS.

Lebih kurang tiga hari lepas, saya ada menerima keratan akhbar Sinar Harian memuatkan kenyataan abah saya melalui kiriman WhatsApps.

Tersentuh hati saya apabila membacanya namun hasrat untuk menulis di ruang ini saya tangguh dahulu sehingga selesai penamaan calon.

Saya terasa seolah-olah peristiwa yang abah sebutkan baru sahaja berlaku semalam. Ya, masih saya ingat saat abah membawa saya ke segenap tempat untuk mendengar ceramah PAS.

Penglibatan abah secara aktif dalam PAS juga akhirnya membawa saya terlibat sama di dalam dunia aktivisme politik terutamanya PAS. Saat susah getir membangunkan PAS juga masih segar dalam ingatan. Iyalah, bukan mudah untuk orang menerima PAS waktu itu.

Sehinggalah usia saya menjengah remaja, saya terus aktif dengan aktiviti kemasyarakatan dan politik. Saya sempat aktif bersama PAS Johor Bahru dan berjaya mendirikan sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bersama rakan-rakan.

Ia dinamakan sempena anak lelaki sulung saya, Izzuddin al-Qassam.

Walaupun berlatar belakang pendidikan saya di sekolah tahfiz, namun saya selesa dilihat sebagai aktivis politik sahaja. Saya seronok begitu kerana bukan sahaja saya boleh berkawan dengan masyarakat berbeza latar, saya juga boleh mendekati golongan yang berbeza latar ini.

Sehinggalah pada 2015, saat perpecahan dalaman PAS mula ketara, label-melabel mula membarah sehingga saya juga turut terpalit sama. Dan akhirnya saya tiba di satu persimpangan yang memaksa saya perlu membuat keputusan.

Meninggalkan PAS dan menyertai AMANAH adalah keputusan yang paling sukar yang pernah saya buat. Ia bukan keputusan dalam sehari, bahkan lebih sebulan.

Biar Allah membalas

Biasalah, dari kecil saya berjuang bersama PAS, terlalu banyak memori dan pengalaman yang saya ukir. Namun, saya yakin ia adalah sebahagian dari ijtihad politik. Saya memilih untuk menuju ke destinasi menggunakan kenderaan yang lain.

Abah faham keputusan saya. Bahkan dalam keluarga kami, adik lelaki saya juga turut bersama meninggalkan PAS untuk menyertai AMANAH.

Mak juga merestui keputusan saya. Selalu juga beliau bertanya khabar dan singgah di halaman Facebook saya untuk memberikan komen-komen positif dan kata-kata semangat.

Walau apapun orang kata, abah dan mak tidak pernah menganggap saya anak yang derhaka hanya kerana menyertai AMANAH.

Saya tetap menjalankan tanggungjawab selaku anak sulung keluarga.

Di rumah, kami jarang berbual hal yang boleh menyebabkan kami berselisih pendapat. Dan kalau ada pun, saya sebagai anak perlu mengalah.

Sebenarnya, bergenang juga air mata saya apabila abah menyebut kebaikan saya kepada wartawan. Saya sendiri rasakan saya bukanlah sempurna dan anak yang terbaik sehingga kebaikan saya perlu disebut di dada akhbar.

Kalau ada kebaikan saya pada abah dan mak, biarlah Allah yang membalasnya.

Cukup-cukuplah kita pecah-belahkan masyarakat kerana politik. Jangan pula keluarga dijadikan gadaian hanya kerana ego politik sendiri.

Jangan pula melaga-lagakan sehingga seronok melihat ada keluarga yang berpecah-belah lantaran nafsu politik. Saya bersyukur kepada Allah kerana keluarga saya tetap rukun dan harmoni walau kami berbeza parti.

Selamat maju jaya, abah! Doakan E! Semoga Allah redha.


Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS