Dasar Ekonomi Baru (DEB) sering disifatkan sebagai penyelamat ketuanan Melayu selain sebagai pemangkin ekonomi bumiputera.
Di samping itu para pemimpin Melayu melaung-laungkan slogan bahawa DEB juga memperjuangkan dan mempertahankan kududukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tetapi tidakkah mereka sedar DEB sebaliknya menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di negara ini walaupun IPT awam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
DEB menjejaskan kedudukan bahasa Melayu apabila ia menghadkan bilangan IPT awam dan pengambilan pelajar bukan Melayu. Apabila ini berlaku, ramai pelajar bukan Melayu tidak berpeluang mengembangkan penguasaan bahasa Melayu mereka kerana terpaksa melanjutkan pelajaran ke IPT swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya.
Contohnya, Universiti Teknologi Malaysia yang mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa mengantar cuma mengambil tidak lebih dari 10 peratus bukan bumiputera manakala Kolej dan Universiti Tunku Abdul Rahman yang diuruskan oleh MCA mengutamakan bahasa Inggeris mengambil pelajar Tionghua sahaja.
Ini bermakna pengembangkan bahasa Melayu di kalangan pelajar bukan Melayu berkembang setakat di peringkat sekolah sahaja. Di peringkat kolej mereka beralih kepada bahasa Inggeris. Tidakkah ini menunjukkan dasar DEB itu sendiri yang membantutkan pengembangan bahasa Melayu?
Di samping itu, akhbar dan media elektronik yang dibolot oleh parti pemerintah pula lebih mengutamakan propaganda kerajaan dan ini menyebabkan minat bukan Melayu terhadap media berbahasa Melayu berkurangan. Sebagai alternatifnya mereka beralih kepada televisyen berbayar, akhbar berbahasa Inggeris dan Mandarin.
Apabila kurang pembaca dan penonton media massa berbahasa Melayu, ini secara tindak langsung menjejaskan kemajuan dan penggunaan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi.
Penulis adalah pengerusi DAP Negeri Johor.
