Mengikuti persidangan Dewan Rakyat saban hari adalah mualkan dengan adanya beberapa orang YB yang cuba menonjolkan diri dengan publisiti murahan.
Sikap ahli Parlimen Jerai, Badruddin Amiruldin yang masih berani memanggil kaum India dengan panggilan "keling" menunjukkan dia layak duduk di Gunung Jerai sahaja.
Alasan bahawa orang utara menggunakan perkataan "keling" untuk orang India menunjukkan kecetekan pemikiran orang yang tidak tahu berbahasa Melayu. Kerana orang seperti inilah Bahasa Melayu masih belum maju berbanding bahasa lain di dunia.
Orang seperti ahli parlimen Jerai tidak sesuai dalam parti Barisan Nasional yang sentiasa melaungkan perpaduan antara kaum.
YB dari Johor Bharu pula, Datuk Shahrir Samad juga juara publisiti murahan. Beliau mengatakan bahawa kaum India di Malaysia gagal mencapai penguasaan tiga peratus ekonomi negara kerana penglibatan mereka dalam gangesterisme.
Bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa, kaum bumiputera juga gagal mencapai penguasaan ekonomi sebagaimana yang diimpikan disebabkan sikap dan penglibatan mereka dalam gejala negatif seperti lumba haram, penagihan dadah dan sebagainya?
Ini adalah andaian orang yang tidak berpendidikan dan hanya Shahrir yang boleh membuat kesimpulan begini.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi haruslah memilih orang-orang yang bersifat sensitif terhadap semua kaum di negara ini agar keharmonian dan perpaduan antara kaum kekal dan bertambah kuat.
Perdana Menteri juga haruslah memainkan peranan menyeru semua pihak mengubah nama-nama tempat yang masih menggunakan nama-nama yang sensitif terhadap sesuatu kaum dengan segera agar tiada kesangsian terhadap kejujuran kerajaan mewujudkan perpaduan.
