Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Kebelakangan ini, berita-berita berkenaan peranan inistitusi diraja telah membanjiri sebahagian besar laman sosial negara kita. Dukacitanya, wujudnya segelintir kecil yang telah melemparkan hujah-hujah yang memperkecilkan institusi Raja-raja kita.

Pada pendapat saya, kejadian ini berlaku mungkin disebabkan kekurangan kesedaran daripada kalangan rakyat berkenaan peranan-peranan Raja di negara kita.

Terdapat juga pendapat-pendapat yang telah mempertahankan kepentingan institusi diraja; antaranya peranan Yang di-Pertuan Agong untuk mengawasi Perdana Menteri dan dewan negara serta dewan rakyat.

Ada pihak yang menekankan kepentingan Raja untuk meredakan keadaan genting, darurat seperti mana yang berlaku di negara jiran kita, Thailand. Apabila puak baju kuning dan baju merah yang berdukungkan pemahaman politik yang berlainan bertelingkah, Raja Siam waktu itu, Raja Bhumibol telah berusaha untuk menenteramkan suasana genting masa itu.

Pelbagai aspek kehidupan

Namun, bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang sekian lama hidup dalam keadaan aman-damai, mungkin adalah sukar bagi mereka untuk memahami konsep yang disebut di atas.

Sememangnya, tanggungjawab institusi diraja bukan semata-mata untuk mempertahankan agama Islam dan bangsa Melayu; malah peranannya merangkumi pelbagai aspek kehidupan rakyat jelata yang berbilang bangsa dan agama di negara kita.

Kesultanan Johor telah berjaya menonjolkan kewujudan dan keprihatinannya kepada rakyatnya menerusi program Kembara Mahkota Johor, di mana keluarga diraja telah mencemar dulinya untuk bergaul bersama rakyat di samping menghulurkan bantuan kepada rakyat yang miskin papa.

Tanya sahaja bangsa Johor, ramai yang akan bercerita tentang Sultan Johor dan kerabatnya yang sering bersama-sama merayakan hari kebesaran pelbagai kaum di negeri Johor.


Ada juga Sultan yang berjiwa rakyat, yang berprofil rendah yang keprihatinan terhadap rakyatnya tidak kurang dari Kesultanan Johor.

Saya berasa bangga sebagai anak Darul Aman kerana mempunyai seorang Sultan yang berjiwa rakyat, yang pernah menjunjung jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke -14 dari Disember 2011 sehingga Disember 2016. Sepanjang waktu berkenaan, Tuanku telah menunjukkan keprihatinannya terhadap rakyat Malaysia dan anak-anak Darul Aman khususnya.

Tuanku sering berulang-alik di antara Istana Negara di ibu Negara dan istana Anak Bukit, Kedah. Setiap kali Tuanku kembali ke Kedah, pastinya ada tugas rasmi yang menanti Tuanku.

Tuanku amat mementingkan pendidikan rakyatnya. Seringkali Tuanku akan mencemar dulinya ke sekolah-sekolah pelbagai aliran, antaranya untuk menghadiri Hari Anugerah Cemerlang. Tindakan Tuanku telah merangsangkan pelajar-pelajar untuk rajin menelaah buku.

Hakikatnya ramai di kalangan pelajar- pelajar yang teringin sangat untuk menerima anugerah daripada Tuanku. (Saya di kalangan pelajar-pelajar yang pernah menerima anugerah daripada Tuanku sewaktu di bangku sekolah dulu).

Malah, di sekolah saya yang dulu, Sekolah Menengah Keat Hwa, wujudnya satu anugerah untuk pelajar SPM terbaik setiap tahun, yang disediakan oleh Sultan Kedah. Pingat emas Sultan Abdul Halim ini seringkali menjadi rebutan ramai.

Daripada aspek agama, Tuanku amat menitikberatkan perkembangan agama Islam. Setiap kali adanya upacara agama, akan kelihatan Tuanku khasnya di perkarangan Masjid Zahir. Malah di kawasan terpencil pun, Tuanku akan mencemar dulinya kalau dijemput. Setiap kali adanya masjid baru dibina, Tuanku akan berangkat ke majlis perasmiannya, walaupun masjid berkenaan di kawasan pedalaman, di tengah-tengah bendang.

Aspek kesihatan rakyat antara isu-isu yang dititikberatkan Tuanku. Tuanku menerusi doktor peribadinya yang merupakan ketua jabatan perubatan Hospital Sultanah Bahiyah, amat peka terhadap kepincangan katil-katil di hospital.

Kekurangan katil hospital

Setelah mengetahui kekurangan katil-katil pesakit di hospital, Tuanku turut berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada pihak swasta dalam menangani isu berkenaan. (Saya telah mewakili jabatan saya untuk menerima sumbangan cek daripada pihak swasta).

Tuanku akan mengiktiraf rakyat-rakyat yang telah membuat sumbangan ke arah pembangunan masyarakat, menerusi pengurniaan pingat kebesaran.

Daripada aspek sosial rakyat, Tuanku selalu cuba untuk bergaul dengan rakyatnya. Selain sesi rumah terbuka di Istana Anak Bukit setiap Hari Raya Aidilfitri; Tuanku akan mencemar dulinya untuk menghadiri majlis perkahwinan rakyatnya sekiranya dijemput.

Hakikatnya, bukan semua rakyat jelata yang menyedari tentang fungsi dan peranan yang dimainkan institusi diraja di Malaysia. Saya telah meyaksikan peranan institusi diraja di peringkat komuniti, sewaktu saya berkhidmat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Setiap kali Tuanku ada urusan rasmi, Istana Anak Bukit akan meminta kerjasama daripada pihak hospital untuk menghantar satu pasukan perubatan pengiring.

Saya percaya institusi diraja di negeri yang lain turut memainkan peranan yang serupa. Malah, bukan sekadar komuniti setempat bahkan juga sewaktu berurusan dengan dif-dif terhormat dari luar Negara.

Pihak media sosial seharusnya memainkan watak yang aktif dalam membuat liputan yang lebih berkenaan peranan yang dipikul oleh institusi diraja di negara kita.



LOW DYOI-E ialah pembaca Malaysiakini. Beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS