Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Tindakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan media dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Cina - sepatutnya tidak menjadi isu.

Ia bukan perkara baru, telah menjadi amalan lama dulu. Ia tidak pernah menjadi isu di kalangan wartawan di media arus perdana mahupun alternatif.

Ia juga dianggap biasa dan turut diamalkan pemimpin BN dulu.

Perkara itu tidak menimbulkan masalah kerana dahulu ia tidak disiarkan secara bulat-bulat tanpa suntingan seperti yang terjadi kini.

Sidang media juga begitu. Wartawan yang hadir dari agensi berita pelbagai bahasa, maka tidak hairan jika soalan dan jawapan juga dalam pelbagai bahasa.

Perlu difahami bahawa kenyataan media adalah taklimat oleh pemimpin atau tokoh tertentu kepada media. Mereka seboleh mungkin cuba memberi kefahaman kepada pemberita agar laporan mereka tidak tersilap maklumat atau fakta.

Di kalangan pengamal media, kenyataan media pelbagai bahasa ini amat dialu-alukan. Ia memudahkan kerja dan sejajar dengan kewujudan akhbar pelbagai bahasa di negara ini.

Justeru, kritikan sesetengah pihak bahawa amalan penggunaan pelbagai bahasa ini - bukan bahasa kebangsaan saja - sebagai "mencarik adat" adalah tidak berasas.

Ia sentimen peribadi dan tidak perlu diulas.

Barangkali ini berlaku apabila kenyataan media yang biasanya untuk wartawan telah diadili secara umum.

Apa-apa pun, amalan menyiarkan kenyataan dan sidang media secara langsung ini melambangkan ketelusan dan perlu disambut baik semua pihak.

Usaha mempelbagaikan bahasa pula bukanlah hal yang bertentangan dengan undang-undang, malah boleh mengelakkan daripada berlakunya manipulasi maklumat oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan.

Di era kebebasan maklumat ini, kita perlu berfikiran terbuka, menerima perubahan kaedah dan pemikiran serta meninggalkan tempurung sentimen perkauman yang membelenggu selama ini.

Isu kenyataan media pelbagai bahasa tidak sepatutnya menimbulkan perbalahan, ia telah berlaku sejak sekian lama dan diterima seadanya.


MAT ZAHARI ALI adalah seorang penulis dan bekas editor beberapa akhbar alternatif.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS