Paling Popular
Terkini

Lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama delegasi kerajaan Malaysia ke Jepun baru-baru ini mengingatkan saya zaman saya belajar seni bela diri Karate Do di sekolah menengah dan sekejap ketika di UiTM Shah Alam dahulu.

Walaupun saya tidaklah sempat menamatkan latihan seni bela diri tersebut hingga mendapat tali pinggang hitam, apa yang terpahat dalam jiwa saya setelah itu ialah sekelumit perasaan yang dikenali sebagai "Bushido" oleh orang Jepun, yakni suatu bentuk semangat bermaruah dan kod moral yang saya fikir tidak banyak bertentangan dengan ajaran Islam sebenar itu sendiri.

Nilai jati diri yang sedemikian andai disematkan lebih awal dan konsisten terhadap orang kita di Malaysia ini, mungkin lambat-laun ia boleh menghasilkan satu generasi yang mempunyai rasa malu untuk gagal yang menebal di samping berani menegakkan kebenaran dan bersifat amanah terhadap tanggungjawab yang diberi.

Asas moral dan nilai-nilai budaya sesuatu bangsa itu berasal dari didikan di rumah lagi. Ia tidak semestinya berkaitan kepercayaan, namun ajaran agama yang baik akan memperkasakannya.

Sejarah berkaitan integriti (sifat amanah) sudah sekian lama menjadi kajian serta perdebatan di dunia. Dalam sejarah Nusantara (Asia Tenggara), beberapa contoh serta kisah dapat kita jadikan pengajaran betapa pentingnya tahap integriti sesuatu bangsa tersebut agar reputasi, kedaulatan, pengaruh dan pencapaian kerajaan-kerajaan silam itu terjaga.

Sebagai contoh, warga kerajaan Melayu Melaka menerima Islam dengan agak mudah tanpa sebarang halangan yang kuat apabila melihat betapa berintegritinya para pedagang Muslim dari India dan Timur Tengah ketika berurus niaga.

Ia berbeza apabila Portugis mula menjejakkan kaki mereka di Melaka pada tahun 1509, di mana terjadinya konflik sosio-budaya akibat keegoan serta kebiadapan wakil-wakil dari bangsa Eropah tersebut di Melaka.

Konflik tersebut kemudiannya menjadi modal untuk armada Portugis meranapkan Kesultanan Melayu Melaka, sudah tentu dengan bantuan dari pengkhianatan Datuk Syahbandar Melaka bernama Raja Mendeliar dan Si Kitol yang menjadi tali barut Portugis. Fitnah dan rasuah menjadi makanan mereka berdua.

Di mana silapnya?

Berbalik ke zaman moden pada hari ini, masyarakat Malaysia khususnya kaum Melayu masih terbelenggu dalam menafsirkan apakah itu integriti. Negara ini tidak sunyi dari berita berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

Malah masalah integriti ini hingga melibatkan golongan pendidik, agamawan, istana dan badan penguatkuasa itu sendiri yang selama ini menjadi kepercayaan sesetengah kelompok masyarakat.

Ia juga menjadi sebab musabab bangkitnya negarawan Dr Mahathir bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) menentang BN ketika pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, juga kerana masalah integriti yang melibatkan skandal 1MDB.

Satu persatu skandal lain melibatkan kepimpinan kerajaan terdahulu terbongkar dan dibogelkan. Kertas siasatan, rampasan aset dan pembekuan akaun bank sedang dijalankan oleh agensi-agensi berwajib demi untuk menegakkan kebenaran menentang golongan yang korup.

Wang negara hasil cukai rakyat yang hilang diperkosa kleptokrat sedang dicari dan dikembalikan.

Hari ini, Datuk Seri Najib Razak dianggap antara pemimpin Muslim paling korup di dunia bersama isterinya oleh media-media antarabangsa. Di manakah silapnya hingga lahirnya watak-watak sebegini?

Nilai budaya orang kita itu sendiri yang mengajar orang muda agar menghormati seseorang itu berdasarkan umur, pangkat, harta, dan keturunan.

Jarang sekali kita ajar anak-anak kita supaya lebih menghargai seseorang itu berdasarkan perbuatan baiknya, ilmunya yang beri manfaat kepada pihak lain atau kerana pegangan prinsip perjuangannya yang ikhlas demi agama, bangsa dan negara.

Mungkin ia agak berat untuk dinilai oleh orang kita yang sudah sebati tunduk kepada pingat gelaran dari istana berbanding keperibadian sebenar individu tersebut.

Maka oleh itu, satu revolusi sistem pendidikan negara perlu digerakkan dengan segera. Sudah tiba masanya tenaga pengajar di sekolah-sekolah dan IPT-IPT memberi fokus kepada elemen integriti dalam silibus pelajaran. InsyaAllah usaha ini sedang diberi perhatian oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Maszlee Malik.


Dr Muhammad Faiz Bin Na'aman merupakan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS