Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Tingkat peranan ahli farmasi dalam penjagaan kesihatan rakyat

Dalam usaha penjenamaan semula dan penaiktarafan sistem penjagaan kesihatan Malaysia, golongan ahli farmasi seharusnya diberi peluang memainkan peranan yang penting dan setimpal dengan kepakaran yang dimiliki.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang berkata, ahli-ahli farmasi, termasuklah ahli farmasi komuniti, bukan sahaja berperanan mendispen ubat malah mampu memulakan intervensi perubatan juga.

Hakitkatnya, satu kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2015 telah menunjukkan bahawa kebanyakan responden ingin menerima kaunseling ubat-ubatan yang lebih banyak daripada ahli-ahli farmasi.

“Peranan seorang ahli farmasi tidak terhad kepada tugas mendispen sahaja. Terdapat banyak lagi inisiatif yang boleh dilakukan oleh ahli-ahli farmasi untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

“Ahli-ahli farmasi boleh menawarkan khidmat profesional, misalnya dengan membimbing sesi pemberhentian merokok dan mengendalikan penyakit- penyakit ringan seperti batuk, selesema, dan kesakitan.

"Malahan lagi, menurut Akta Racun 1952, ahli farmasi komuniti yang memiliki lesen racun Jenis A boleh mempreskripsi ubat-ubatan Kumpulan C yang tertentu bagi merawat gejala- gejala pesakit. Ahli farmasi, terutama sekali mereka yang berkhidmat di sektor swasta, mampu memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam khidmat masyarakat,” tambahnya.

Bilangan pesakit meningkat

Pihak kementerian pula harus memberi pertimbangan kepada peranan ahli farmasi komuniti, selaras dengan usaha penjenamaan semula Klinik-klinik 1Malaysia.

Jika klinik-klinik ini bakal dimansuhkan, maka pihak kerajaan patutlah mengusulkan satu mekanisme yang membolehkan ahli farmasi komuniti bekerjasama dengan doktor pengamal am supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Menteri Kesihatan Dr Dzuklefly Ahmad (gambar) baru-baru ini berkata bahawa kementerian beliau bakal menilai semula Klinik-klinik 1Malaysia yang mungkin dinaik taraf menjadi klinik kesihatan.

Bilangan pesakit di hospital dan klinik kerajaan telah pun meningkat dalam tahun-tahun yang lepas. Menurut Kementerian Kesihatan, semenjak pelancaran skima Klinik 1Malaysia pada tahun 2010, purata bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik-klinik tersebut adalah sebanyak 1.3 juta orang setahun.

Dalam satu kajian yang membabitkan seramai 3018 orang pengguna dari seluruh Malaysia iaitu “National Survey on the Use of Medicines by Malaysian Consumers 2015”, hasil penemuan mendedahkan bahawa dalam kalangan mereka yang kerap menggunakan produk farmaseutikal sekalipun:

  • 18.6% pengguna tidak memahami dengan sempurna cara penggunaan ubat mereka.
  • 46.8% pengguna tidak mampu mengenal pasti nama dagangan mahupun name generik ubat mereka.
  • 17.0% pengguna tidak memiliki pengetahuan tentang cara penyimpanan ubat yang betul.
  • 29.7% pengguna tidak tahu tentang kesan-kesan sampingan ubat mereka
  • 31.6% pengguna tidak tahu tentang interaksi yang mungkin wujud antara perubatan tradisional dengan ubat-ubatan moden.

Menurut kajian ini juga, terdapat sebanyak 70.8% pengguna yang ingin lebih banyak menerima kaunseling ubat-ubatan daripada ahli farmasi bagi lebih memahami dan seterusnya menangani masalah-masalah yang timbul berkaitan ubatan mereka.

Laporan kajian tersebut menyatakan: “Perkara ini merupakan indikasi tentang peranan ahli farmasi yang kian berkembang dalam sistem penjagaan kesihatan di Malaysia. Bilangan ahli farmasi yang semakin meningkat dalam sektor kerajaan mahupun sektor swasta telah membolehkan lebih banyak perkhidmatan penjagaan farmaseutikal ditawarkan, misalnya pengurusan terapi ubat-ubatan. Pengguna-pengguna di Malaysia kini mengiktiraf ahli farmasi sebagai pihak yang berperanan penting dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia.”

Rang Undang-Undang Farmasi

Dalam hal yang lain, Amrahi juga berharap agar kerajaan akan mendedahkan kandungan lengkap Rang Undang-Undang Farmasi yang dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Kami belum lagi menerima apa-apa maklumat mengenai Rang Undang- Undang Farmasi sejak bulan September yang lepas. Adakah kerajaan akan meneruskan pelaksanaannya atau tidak?” ungkapnya.

“Kami turut tidak pasti akan peruntukan-peruntukan yang dinyatakan dalam Rang Undang-Undang tersebut, dan ini hanya akan diketahui setelah Rang Undang-Undang dibawa ke Parlimen,” jelasnya.

Menurut Amrahi, kenyataan rasmi terakhir mengenai Rang Undang-Undang Farmasi dikeluarkan pada September 2017. Pada ketika itu, Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam (gambar) dipetik mengatakan bahawa Menteri Kesihatan sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum Rang Undang-Undang tersebut dapat dibentangkan di Parlimen. Keputusan ini adalah selepas perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Pada tahun 2017, telah dilaporkan bahawa Rang Undang-Undang tersebut telah dipinda semula dan dimuktamadkan untuk megekalkan sistem yang membenarkan doktor dan ahli farmasi untuk mengamal peranan mendispen ubat-ubatan.

Para pengguna telah menentang pelaksanaan Rang Undang-Undang tersebut sejak masa lalu. Pada bulan September yang lepas, Persatuan Pengguna Penang telah menggesa Peguam Negara untuk menolak Rang Undang- Undang Farmasi yang didakwa melanggar prinsip asas keselamatan penggunaan ubat-ubatan.

Kuasa untuk pesakit

Mereka berasa kecewa terhadap keputusan menteri kesihatan untuk menggabungkan peranan mendispen dan mempreskripsi ubat dalam sektor swasta primer, padahal pemisahan peranan telahpun diamalkan oleh sektor- sektor yang lain, termasuk sektor kerajaan primer serta sektor kerajaan dan swasta sekunder dan tertieri.

Pemisahan peranan mendispen dan mempreskripsi ubat adalah norma bagi negara-negara maju, dan mereka berpendapatan bahawa negara kita yang bercita-cita untuk mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2020, tetapi berpendirian retrogresif dalam amalan penjagaan kesihatan merupakan sesuatu yang amat ironis.

Bersumberkan satu petikan portal atas talian, Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia Paul Selvaraj berkata di negara-negara maju, para pesakit dan pengguna diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai pihak yang dikehendaki untuk memperolehi ubat-ubatan mereka.

“Kami berharap agar kerajaan akan memberi penjelasan tentang Rang Undang-Undang tersebut dan memaklumkan kepada orang ramai waktu pembentangannya di Parlimen.

"Ramai pihak yang termasuk ahli-ahli farmasi ingin mengetahui dengan lebih lanjut Rang Undang-Undang tersebut dan kesannya terhadap mereka,” ungkap Amrahi.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS