Surat Malaysiakini

UPM boleh capai kedudukan 10 universiti pertanian terbaik dunia

Faiz Fadzil  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Susulan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub baru-baru ini untuk mengembalikan pertanian sebagai fokus utama Universiti Putra Malaysia (UPM), Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengalu-alukan keprihatinan dan hasrat beliau meningkatkan tenaga kerja mahir dan hasil penyelidikan berkualiti tinggi dalam bidang pertanian.

UPM telah memainkan peranannya dengan baik selaras dengan matlamat penubuhan universiti itu hampir lima dekad dahulu.

Hasilnya, UPM diiktiraf oleh QS World Ranking dan mengekalkan kedudukanya dalam senarai 100 universiti terbaik dunia berhubung bidang pertanian dan perhutanan selama enam tahun berturut-turut.

Selain itu, subjek Sains Pertanian UPM juga disenaraikan pada kedudukan ke-42 dunia dan ketujuh di Asia mengikut Ranking Universiti Global 2016/2017.

Walaupun UPM banyak menyumbangkan jasa kepada bidang pertanian tempatan, masih ada ruang untuk menambah baik fungsi universiti tersebut sebagai institusi pertanian terkemuka negara.

Yang pertama ialah penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang berfungsi untuk menganalisis sama ada kos penyelidikan pertanian di UPM dalam tempoh 10 tahun yang lalu telah berjaya mewujudkan hasil (output) yang bersesuaian atau tidak.

Kita harus mengenal pasti sama ada setiap kajian pertanian di UPM mempunyai multiplier effect yang tinggi dari segi kewangan ataupun aspek sosial.

Harus sampai kepada petani skala kecil

Misalnya, untuk setiap RM1 yang dibelanjakan ke atas penyelidikan pertanian, hasilnya harus melebihi RM1. Untuk masa akan datang, UPM disaran menumpukan usahanya dalam penyelidikan yang mempunyai potensi multiplier effect yang tinggi.

Selain itu, kementerian perlu mengenal pasti peratusan kajian berasaskan pertanian di UPM yang berjaya dikomersialkan dalam tempoh 10 tahun lalu.

Ini adalah kerana kadar pengkomersialan hasil kajian di Malaysia masih rendah pada ketika ini. Kita harus mencari langkah penyelesaian untuk situasi ini dan perlu memastikan UPM berjaya mengkomersialkan kajian mereka di pasaran tempatan atau global.

Sebahagian besar kajian berasaskan pertanian di UPM juga harus sampai kepada petani skala kecil serta berpendapatan rendah dan sederhana.

Kementerian diharapkan dapat bekerjasama dengan UPM untuk memberikan dana atau subsidi supaya para petani khususnya B40 dapat mengaplikasikan hasil kajian berkenaan di tanah mereka.

Yang kedua penyelidikan di UPM dan fakulti-fakulti pertanian di universiti awam lain perlu memberi fokus yang lebih terhadap teknologi pertanian masa hadapan iaitu "pertanian pintar".

Penyelidikan berasaskan pertanian perlu mencari jalan untuk memudahkan dan mengurangkan kos penggunaan teknologi sensor, internet of things (IOT), big data dan sebagainya di tanah pertanian.

Melalui cara ini, kita dapat meningkatkan produktiviti dan tenaga kerja mahir di sektor pertanian tempatan.

Konsep tanaman secara kluster perlu diusahakan untuk menggalakkan dan memudahkan para petani meningkatkan penggunaan teknologi secara meluas. Langkah ini boleh menyumbang ke arah penambahan hasil tanaman domestik, terutama melibatkan buah dan sayuran eksport dan untuk mengimbangi harga bagi pasaran tempatan.

Yang ketiga, UPM boleh melihat pendekatan universiti-universiti pertanian terkemuka dunia dan melaksanakannya di sini mengikut acuan kita sendiri.

Hubungan dagangan ke China perlu diperluaskan kepada penukaran teknologi termasuk ilmu dan latihan supaya industri pertanian negara dapat dipertingkatkan selaras dengan rejuvenasi UPM untuk menjadi 10 universiti pertanian terbaik dunia.


FAIZ FADZIL ialah timbalan ketua Pemuda AMANAH dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.