Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pada 20 Ogos 2018 lalu, saya telah meninjau sebuah tapak warisan (bangunan) di Bandar Maharani, Muar, setelah dimaklumkan oleh seorang sahabat peminat sejarah Muar bernama Encik Bobo.

Ia terletak di hadapan Pejabat Daerah Muar, Bangunan Sultan Abu Bakar.

Agak memeranjatkan, plat besi yang tidak diketahui fungsinya tercatat nama H Pooley & Son Limited dan mesin timbang ini tercatat nama Avery ditemui di dalam kawasan balai polis trafik Daerah Muar, Lot 3377 (Gazno7111bt.31.850) rizab polis.

Hal ini saya telah laporkan kepada pegawai daerah Muar, pesuruhjaya warisan, Jabatan Warisan Negara dan ketua polis Daerah Muar.

Dalam rekod sejarah diketahui bahawa Maharaja of Johore iaitu Sir Sultan Abu Bakar pernah melawat Liverpool (sebuah bandar di tepi sungai dan laut dan mempunyai sistem kereta api di England).

H Pooley & Son Limited berpusat di Liverpool dan kemudian diambil alih oleh Avery (firma berpusat di Birmingham UK) pada tahun 1914.

Adakah H Pooley & Son Limited ini merupakan dacing raja? Saya yakin ya.

Dacing raja masih wujud dan H Pooley & Son Limited di dalam kawasan balai polis trafik daerah Muar perlu dicalon sebagai tapak warisan (bangunan) yang perlu diwartakan kepada pesuruhjaya warisan Jabatan Warisan Negara segera.

Keyakinan saya kerana syarikat H Pooley & Son Limited ini masyhur sejak kurun 19 sebagai pembekal berpaten mesin penimbang termasuk untuk kapal Titanic dan syarikat kereta api di England.

Saya ingin merujuk polemik Dacing Raja ini kepada tulisan Malek Munip dari Jabatan sejarah, Universiti Malaya bertajuk “Pentadbiran Bumiputera ke atas kegiatan ekonomi orang-orang Cina di Johor” yang diterbitkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia pada tahun 1978 seperti petikan berikut:

“Di pelabuhan di mana bijih timah itu dieksport, satu “gudang” khas didirikan dan disediakan satu alat timbangan yang dipanggil 'Dacing Raja'. Semua bijih timah yang akan dieksport diwajibkan dibawa ke gudang ini untuk ditimbang.”

Ini bermakna Bandar Maharani merupakan bekas sebuah pelabuhan yang pernah wujud gudang khas dilengkapi dacing raja berfungsi menimbang bijih timah daripada lombong di Padang (Bukit Mor).

Saya bingung kerana sukarnya mendapat lokasi tepat dacing raja ini dan kemungkinan ia telah berpindah lokasi?

Ini kerana peta Bandar Maharani pada tahun 1887 pun tidak pernah “dijumpai” oleh sesiapapun walaupun sejarah bandar Maharani ini gemilang termasuk pernah wujudnya sistem kereta api dikenali sebagai “The Muar State Railway”.

Oleh itu, saya memeriksa peta bandar Maharani khusus di kawasan sekitar balai polis trafik Daerah Muar, yang paling awal ialah tahun 1934.

Saya merujuk kepada Muar: (Bandar Maharani), plant of Port/complied and drawn by inter-service topographical Department, bersumber National Library of Australia digitised.

Kedudukan dacing raja ini terletak di antara court house dan police station Bandar Maharani.

Memang tidak wujud lagi gudang dan pelabuhan pada tahun 1934.

Dengan mendapatkan peta Bandar Maharani antara tahun 1887 hingga 1918 kemungkinan kita dapat buktikan kawasan dacing raja ini berada dalam gudang khas di dalam kawasan pelabuhan.

Kesimpulannya, sebagai pengkaji sejarah yang menjumpai objek “dacing raja” secara tidak sengaja dan memahami kehendak Seksyen 47 (1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 seperti berikut:

“Mana-mana orang yang menjumpai apa-apa objek yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai mempunyai warisan kebudayaan yang penting hendaklah dengan serta-merta memberitahu pesuruhjaya, mana-mana pegawai yang diberi kuasa atau pegawai daerah bagi daerah tempat objek itu dijumpai, dan jika boleh dilaksanakan, menghantarkan objek itu kepada pesuruhjaya, pegawai yang diberi kuasa atau pegawai daerah yang hendaklah memberikan suatu pengakuterimaan bertulis mengenainya.”

Saya berharap pihak ketua polis daerah Muar memaklumkan kewujudan tapak warisan (bangunan) kepada pegawai daerah Muar, pesuruhjaya warisan Jabatan Warisan Negara, Yayasan Warisan Johor dan pihak Istana Negeri Johor segera.

Saya melihat keterujaan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar terhadap penemuan pelapik kayu, besi rel dan papan sauh The Muar State Railway seperti dilapor Berita Harian bertajuk “Sultan Johor melawat tapak MSR” pada 12 September 2017.

Diharap pegawai daerah Muar menjemput DYMM Sultan Johor melawat tapak ini segera.

Sesungguhnya H Pooley & Son Limited ada kaitan dengan dacing raja dan The Muar State Railway.


MOHD AZLAN MOHD SHARIF ialah pengkaji sejarah bebas dan aktivis masyarakat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS