Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Hannah Yeoh: Tak perlu pisah rakyat dengan sentimen kenegerian

Saya merujuk kritikan terhadap ucapan saya di forum Malaysia for Change, Sarawak (MoCS) yang diadakan di Kuching pada 29 September 2018 yang lepas.

Tajuk forum tersebut ialah "Apakah peranan kita dalam Malaysia Baru?". Ucapan saya telah merangkumi isu masa depan anak-anak muda Malaysia terutamanya melibatkan isu kanak-kanak – bagaimana kita melindungi mereka, polisi mengenai penjagaan kanak-kanak, pendidikan mereka dan isu kemiskinan.

Saya juga menyatakan dengan jelas yang kita perlu menghargai Malaysia Baru ini dengan bersungguh-sungguh kerana kita telah bekerja keras dan mengorbankan masa yang panjang untuk kita sampai ke sini.

Kita perlu bersatu-padu dan bekerja bersama-sama membina semula Malaysia Baru ini. Negara ini telah lama dipisahkan dengan isu perkauman dan agama dan hari ini timbul pula sentimen seperti Sarawak untuk orang Sarawak sahaja.

Kita memerlukan Malaysia Baru yang menyatukan kita semua. Media tempatan di Sarawak telah menyerang saya dengan mendakwa saya gagal menghormati Sarawak. Malangnya, serangan tersebut tersasar jauh dari kebenaran.

Buat pertama kalinya, kerajaan persekutuan yang baru ini telah mengiktiraf hak serta kedudukan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia. Saya menyokong sepenuhnya segala usaha yang dilakukan oleh pentadbiran baru Pakatan Harapan yang mengiktiraf dan menguatkuasakan Perjanjian Malaysia 1963.

Persekutuan Malaysia – adalah tiga wilayah yang membentuk sebuah negara. Jika kita benar-benar berhasrat mahu melihat ianya menjadi kenyataan dalam erti kata sebenar, maka setiap entiti dalam persekutuan ini harus memperlihatkan komitmen untuk menjayakannya.

Sebarang sentimen atau retorik politik yang bertujuan mengasingkan antara satu entiti dan mengasingkan rakyatnya daripada sebuah negara yang lebih besar, slogan seperti "Sarawak untuk orang Sarawak", "Sabah untuk orang Sabah", atau Semenanjung Malaysia untuk pihak yang lain, bukanlah sesuatu yang sihat dalam pembinaan sesebuah negara.

Sebagai Timbalan Menteri di Putrajaya, saya telah ke Kuching, bukan sahaja untuk berucap dalam forum tersebut tetapi untuk bertemu dengan pihak yang berkepentingan di Sarawak dalam menangani isu perkahwinan kanak-kanak dan perkahwinan adat – untuk saya memahami isu ini dengan lebih baik, di samping melibatkan diri dan mendapatkan maklum balas daripada mereka sendiri.

Inilah penghormatan yang sebenar buat mereka. Saya percaya, Malaysia Baru yang kita kecapi hari ini memerlukan strategi baru bagi memperbaiki masalah lampau dan mengulangi kaedah lama yang sama pastinya tidak akan menghasilkan keputusan yang berbeza.


HANNAH YEOH merupakan anggota parlimen Segambut dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS