Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Saya mengalu-alukan keputusan jemaah menteri dalam dua perkara:

  • Pemansuhan semua jenis hukuman mati; dan
  • Penggantungan pelaksanaan Akta Hasutan 1948.

Saya mengulangi bahawa Akta Hasutan adalah undang-undang antidemokratik yang mengekang kebebasan asasi rakyat Malaysia.

Oleh itu, keputusan jemaah menteri untuk menggantung pelaksanaan akta tersebut adalah keputusan yang betul.

Mengenai pemansuhan semua jenis hukuman mati pula, keputusan ini selari dengan prinsip bahawa setiap nyawa itu bernilai.

Setiap orang mempunyai hak asasi untuk bernyawa dan menjalani kehidupan dan mana-mana kerajaan tidak berhak untuk mengambil nyawa seseorang.

Pendukung hukuman mati seringkali mengatakan bahawa hukuman tersebut dilaksanakan sebagai penghindar kesalahan kepada masyarakat.

Namun demikian, dakwaan ini telah berkali-kali dibuktikan salah dan tidak ada bukti kukuh bahawa hukuman mati adalah lebih berkesan dalam mengurangkan jenayah berbanding hukuman penjara seumur hidup.

Di samping itu, dalam sistem keadilan jenayah yang tidak sempurna dan tidak dapat menjamin keputusan yang tepat setiap masa, pemansuhan hukuman mati memberi ruang dan peluang untuk memperbetulkan keadaan sekiranya terdapatnya kekhilafan dalam sabitan.

Oleh itu, saya melihat keputusan ini sebagai suatu bentuk pelaksanaan kata-kata perdana menteri sewaktu Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 tempoh hari.

Ketika itu perdana menteri menekankan tentang Malaysia Baharu yang membenci peperangan dan keganasan serta mendukung hak asasi manusia.


SYAHREDZAN JOHAN ialah setiausaha politik anggota parlimen Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS