Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Setiap kali kita terbaca dan mendengar tentang deretan ilmuwan serta cendekiawan Muslim era silam seperti Ibn Sina, Al-Khawarizmi, Ibnu Khaldun, Al-Biruni, dan Umar Khayam, pastinya kita akan dapat menelusuri kehebatan mereka dalam sains dan matematik, tatkala mempunyai rasa bertuhan dan keimanan yang menebal.

Sejarah sendiri tidak dapat menafikan kegemilangan kerajaan serta tamadun Islam pimpinan Nabi dan Khulafa’ ar-Rasyidin, selain keagungan empayar Islam di Kufah, Baghdad, Sepanyol, dan Istanbul.

Hakikatnya, kesemua kejayaan ini berpusar kepada satu fokus utama: kecemerlangan gerak kerja serta tata kelola kepemimpinan bersulamkan tekad disiplin yang jitu – tanpa melupakan agama, apalagi meminggirkan urusan duniawi.

Seharusnya, kegemilangan ini tidak hanya menjadi sekadar catatan sejarah yang dihafal untuk ceramah dan peperiksaan.

Jauh lebih daripada itu, ia seharusnya menjadi pemangkin kepada kebangkitan umat Islam untuk menjadi yang paling cemerlang dalam pelbagai bidang, tanpa menafikan hak serta kesejahteraan masyarakat bukan Islam.

Umat Islam dewasa ini tidak seharusnya tergolong dalam kalangan yang mundur dan terkebelakang.

Maka, pendidikan dan budaya ilmu seharusnya menjadi cahaya yang tidak boleh diabaikan dalam menanggapi cabaran kegelapan.

Menurut ajaran Islam, ilmu adalah bersifat sejagat dan tidak ada pemisahan antara ilmu-ilmu. Ayat Al-Quran yang pertama diturunkan sendiri berkait dengan ilmu iaitu Surah al-Alaq (ayat 1-5).

Sementelah, umat Islam juga sewajarnya menjadi individu serta kumpulan yang kuat fizikal serta mental -- dalam menghadapi tentangan zaman yang mencabar ini.

Kita mesti tegar untuk mendepani khalayak dengan penuh yakin, berstrategi dan membawa isu-isu yang berdampak luas.

Ketinggian akhlak dan moral sepatutnya menjadikan kita lebih cakna dalam hal memperjuangkan isu-isu Orang Kurang Upaya (OKU), sukan, politik, ekonomi malahan alam sekitar.

Islam sebagai rahmat sekalian alam, bukanlah sekadar tema kosong, sebaliknya sebuah gagasan besar yang perlu dizahirkan dengan dasar serta tindakan yang progresif.

Dalam satu perkembangan lain, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang telah ditubuhkan sejak tahun 1971 (47 tahun yang lalu), baru-baru ini telah menerima ‘Anugerah Penarafan 5 Bintang’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi penilaian MyKD.

Antara lain, pengiktirafan ini diberikan berdasarkan kepada prestasi gerak kerja, kualiti dokumentasi serta pelaporan yang dihantar oleh ABIM secara konsisten.

Dalam majlis penganugerahan yang diadakan di Dewan Titiwangsa Kompleks Belia dan Sukan, Kuala Lumpur, ABIM diwakili oleh Presiden Mohamad Raimi Ab Rahim.

Ini adalah kali ketiga ABIM diiktiraf dengan anugerah tersebut, selepas tahun 2013 dan 2014.

Pengiktirafan ini adalah bersesuaian dengan perjuangan ABIM untuk membuktikan bahawasanya gerakan Islam tidak seharusnya hanya mampu melaungkan retorika, tetapi juga membuktikannya dengan tindakan.

Berkebetulan, pengiktirafan kepada ABIM diberikan menjelang penganjuran Seminar Kebangsaan: “Visi Islam dalam Aspirasi Malaysia Baharu” bersempena Muktamar Sanawi Kali ke-47 tahun ABIM pada 20 Oktober 2018 (Sabtu) ini di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Pada era Revolusi Perindustrian 4.0 dewasa ini – khususnya pasca pilihan raya umum (PRU) ke-14 baru-baru ini; polemik terhadap kedudukan institusi-institusi Islam semakin hebat dibincangkan secara terbuka.

Realitinya, Islam memberikan persekitaran yang lebih baik kepada bukan Islam, kecualilah ada usaha untuk mencabar atau meruntuhkan institusi Islam.

Justeru, seminar yang dianjurkan oleh ABIM ini adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran serta kefahaman masyarakat khususnya umat Islam tentang visi sebenar Islam yang boleh dikembangkan sebagai satu cara hidup yang syumul dan menyeluruh.

Ia turut memberi persediaan dan gambaran kepada sukarelawan belia Islam dalam mengambil pendekatan baru yang lebih fokus dan pragmatik-realistik, sesuai dengan visi Islam yang kontemporari.

Seminar ini juga bertujuan meningkatkan tahap kesedaran serta kefahaman para peserta tentang peranan yang perlu dimainkan oleh umat Islam, khususnya yang terlibat dengan organisasi dan institusi berkaitan Islam.

Amalan membudayakan akhlak murni, integriti serta disiplin dalam pekerjaan serta kehidupan seharian juga ditekankan. Pendaftaran seminar ini boleh dibuat di sini: https://www.billplz.com/seminarkebangsaan atau dengan menghubungi 019-3531967 dan/atau 018-665 4256.

Sesungguhnya, jalan perjuangan yang pernah, sedang dan akan dilalui oleh para aktivis yang ikhlas memperjuangkan Islam, tidak pernah menjanjikan keselesaan atau kemasyhuran.

Malah, menuntut pengorbanan yang total: sukma, jiwa dan raga. Demikianlah - berjuang, tak boleh mudah patah hati.

Kota Roma dan keteguhan Colosseumnya tak siap dibina dalam masa sehari. Usaha dan komitmen untuk keluar daripada belenggu ‘isti’mar al-fikr wa al-ruh’ (penjajahan fikiran dan jiwa), mesti diteruskan. Bangkit!


ZAIRUDIN HASHIM ialah penolong setiausaha agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Lihat Komen
ADS