Surat Malaysiakini

Pemimpin HARAPAN wajar lebih jujur, mohon maaf

Danial Ho\n\n  |  Diterbitkan  | 

Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu yang merupakan pembentangan belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sesi perbahasan Belanjawan 2019 hanya akan bermula pada 12 November dan diharap ia akan berlangsung secara lebih matang dan efektif.

Belanjawan 2019 kelihatan masih belum mampu menunaikan komitmen pilihan raya kerajaan seperti yang terkandung dalam Buku Harapan.

Walaupun tiada sebarang ketetapan undang-undang mewajibkan pelaksanaan janji manifesto pilihan raya atas tanggungjawab moral dan agama ia perlu diusahakan sebaik mungkin.

Maka, Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ingin mencadangkan beberapa perkara:

* Menyemak semula kandungan Buku Harapan

Penyediaan janji/komitmen dalam Buku Harapan berlaku ketika HARAPAN masih menjadi pembangkang yang memiliki maklumat sangat terhad dan bergantung hanya kepada laporan bertulis yang diterbitkan.

Setelah mengambil alih kerajaan persekutuan, barulah diketahui segala maklumat berstatus rahsia yang gagal dijadikan dokumen awam.

Ini sejajar dengan komitmen yang diberikan Datuk Dr Rais Hussin iaitu pengerusi Biro Dasar dan Strategi BERSATU merangkap ketua Jawatankuasa Manifesto HARAPAN untuk untuk menyemak semula Buku Harapan supaya lebih realistik dengan keadaan kewangan semasa negara.

Ia pendirian yang disokong penuh oleh Pemuda BERSATU.

* Tentukan secara jelas tempoh pelaksanaan

Menetapkan dengan jelas jangkaan masa penyempurnaan janji/komitmen dalam setahun, tiga tahun dan lima tahun bagi mengelakkan kekeliruan dan cubaan memanipulasi fakta bagi menyerang kerajaan secara tidak bertanggungjawab.

* Buat permohonan maaf rasmi dan terbuka

Pimpinan kerajaan HARAPAN dan Jawatankuasa Manifesto HARAPAN boleh menimbangkan permohonan maaf terbuka secara rasmi.

Ia boleh dilakukan dengan mengambil kira kemampuan kerajaan HARAPAN memenuhi keseluruhan janji 100 hari dan kekangan terhadap pelaksanaan komitmen lain dalam Buku Harapan.

Keterbatasan itu wujud kesan daripada masalah kewangan dan pentadbiran lemah kerajaan yang diwarisi BN.

Pimpinan HARAPAN perlu berani dan berjiwa besar dengan berlaku jujur untuk memohon kemaafan atas kekurangan yang ada walau berpunca dari pihak yang lain.

Diharapkan cadangan dan syor di atas dapat dipertimbangkan dengan adil bagi meningkatkan rasa keyakinan rakyat terhadap HARAPAN.

Ia juga wajar diambil kira dalam usaha HARAPAN membentuk pentadbiran yang jujur serta berjiwa besar.


DANIAL HO ialah exco ekonomi dan keusahawanan Pemuda BERSATU Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.