Saya ingin menarik perhatian artikel yang disiarkan atas tajuk Move on, Everest hero's family told dan menafikan beberapa kenyataan yang terkandung dalam artikel ini.
Pihak Suhakam telah menerima memorandum dari Parti Keadilan Rakyat pada 29 Disember 2005. Upacara penerimaan memorandum dihadiri oleh beberapa orang pemberita. Selepas itu, secara tidak rasmi beberapa orang pemberita telah menghampiri saya dan mengemukakan beberapa soalan mengenai kes M Moorthy dan apa tindakan akan diambil jika memorandum mengenai isu ini diserahkan oleh isteri mendiang.
Selepas itu ditanya pula mengenai kes yang di mahkamah, jawapan saya jelas, kedudukan ini harus dirujuk kepada 'bahagian undang-undang Suhakam'. Barulah kita dapat membuat pendirian. Lagipun, kes ini sedang dirujuk ke mahkamah rayuan dan pihak Suhakam tidak dapat campur tangan kes yang berada di mahkamah rayuan.
Saya menafikan sama sekali kenyataan 'kes ini harus ditarik balik'. Ini tidak masuk akal pun kerana saya ketahui hak-hak asasi isteri mendiang.
Apa yang dimaksudkan oleh saya 'since the matter has been decided' ialah kes ini telahpun dirayu ke mahkamah rayuan oleh itu kita mesti menghormatinya.
Kata-kata saya, "kes ini harus diselesaikan melalui rundingan", pula bermaksud sesuatu isu di antara kaum di Malaysia, ia harus diselesaikan secara mesyuarah dan berjiwa persaudaraan.
Namun demikian, tajuk malaysiakini , 'Move on, Everest Hero's family told' serta kes ini harus ditarik balik, merupakan kenyataan yang tidak benar. Saya tidak langsung menyebutnya. Saya yakin bahawa pihak malaysiakini akan membuat pembetulan kerana isu ini menarik perhatian masyarakat umum serta akan menjejaskan kredibiliti malaysiakini .
Nota pengarang: Ini adalah petikan sebenar dari Siva Subramaniam di mana wartawan kita telah rekod dalam pita rakaman: "Since the matter has been decided, I think all parties should forget about this and to get together (instead) - all problems of Malaysians should be settled through negotiations." Laporan kita adalah berdasarkan apa yang disebut oleh Siva, di mana beliau menyeru semua pihak terlibat melupakan perkara tersebut. Jikalau kita telah salah tafsir kenyataan tersebut, maka kita memohon maaf atas kesalahan itu.
