Tiada siapa yang menang sebenarnya dalam isu pengkebumian wira Everest negara. Ianya adalah merupakan satu peristiwa yang harus diambil iktibar oleh semua rakyat Malaysia dalam negara yang berbilang agama dan bangsa ini.
Ianya memberi gambaran walaupun Malaysia telah merdeka sejak tahun 1957 lagi, dan berbagai usaha telah dilakukan untuk menanamkan semangat muhibbah di antara rakyat yang berbilang agama dan bangsa, namun apabila sampai isu yang menyentuh sensitiviti agama kita masih tidak dapat duduk semeja untuk menyelesaikannya dengan semangat toleransi dan setiakawan, hanya mengharapkan sistem perundangan untuk menyelesaikannya.
Bagi saya seorang penganut Islam, saya turut merasa sedih perkara sebegini berakhir dalam keadaan ada pihak yang berduka cita iaitu isteri dan ibu wira Everest walaupun undang-undang dapat ditegakkan. Kita umat Islam memang sepatutnya mempertahankan undang-undang Islam sedia ada, tetapi adakah kita mempertahankan undang-undang Islam tersebut kerana kita benar-benar kasihkan saudara kita yang memeluk agama Islam, atau sebaliknya?
Adakalanya kita sendiri bersikap hipokrit, apabila ada orang yang mencabar undang-undang Islam kita bertepuk sorak mempertahankannya, tetapi apabila saudara yang baru memeluk Islam kita tidak pula bertepuk sorak menghulurkan bantuan. Sedangkan dalam Islam, mereka yang baru memeluk agama Islam haruslah diberi perhatian seperti menatang minyak yang penuh, sepertimana kasihnya ibu menjaga anaknya yang baru dilahirkan.
Baru minggu lalu sudah saya berjumpa dengan sahabat saya di Seremban. Beliau mengeluh kerana ada pihak yang sudi memberikan rumah untuk penginapan dan perlindungan saudara-saudara baru, malangnya sukar untuk mendapatkan mereka yang benar-benar berminat untuk mengendalikan rumah penginapan tersebut.
Tanggungjawab menjaga saudara baru ini tidak seharusnya diletakkan di bahu pihak berkuasa agama semata-mata. Pihak swasta, ahli korporat Islam, individu, masyarakat harus sama berganding bahu menjayakan usaha membantu saudara-saudara baru.
Betapa begitu sensitifnya isu pengkebumian wira Everest negara dan betapa tidak begitu terbukanya sikap kita dalam membincangkan isu ini sehinggakan tidak ramai pemimpin-pemimpin negara dan masyarakat yang berani memberikan pandangan untuk meredakan ketegangan yang timbul.
Apakah sambutan Rumah Terbuka Hari Raya, Rumah Terbuka Deepavali, Rumah Terbuka Krismas dan sebagainya tidak dapat membentuk masyarakat Malaysia yang saling hormat menghormati antara satu sama lain ?
Umat Islam di Malaysia ini, terutamanya orang Melayu harus menerima hakikat bahawa kita hidup di negara ini dengan rakyat dari pelbagai lapisan agama dan bangsa. Memahami amalan dan budaya agama lain bukanlah bermaksud kita hanya berseronok meraikan sambutan perayaan agama mereka.
Memahami amalan dan budaya agama lain juga bererti kita dapat memberi kebebasan kepada mereka untuk mengamalkan agama mereka tanpa perasaan syak wasangka.
