Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami merupakan sekumpulan lelaki beragama Islam yang amat bimbang tentang pelulusan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 oleh Dewan Negara baru-baru ini.

Kami amat terkilan kerana ia diluluskan walaupun terdapat sekurang-kurangnya 12 senator wanita menentang keras lima peruntukan dalam rang undang-undang tersebut. Kami juga difahamkan ramai individu dan pertubuhan wanita secara umumnya membantah rang undang-undang ini.

Sebagai kaum lelaki yang beragama Islam kami percaya perkahwinan dalam Islam adalah berdasarkan prinsip persemaan, keadilan, saling menghormati dan kasih sayang. Oleh itu, apabila terdapat peruntukan dalam rang undang-undang ini yang memudahkan lelaki untuk mengamalkan poligami dan memperbesarkan kuasa menceraikan isteri mereka, kami amat faham kenapa beberapa individu membantahnya dan merasa teraniaya.

Lagipun, seperti diketahui, ramai wanita yang menderita akibat pelaksanaan undang-undang keluarga Islam sedia ada yang banyak mendiskriminasi wanita.

Sebagai orang yang beriman terhadap Allah s.w.t., kami percaya bahawa Islam menjamin kesamarataan hak dan maruah umat manusia secara keseluruhannya, baik lelaki atau wanita, seperti yang difirmankan oleh Allah dalam al-Quran.

Oleh itu, memandangkan di bawah rang undang-undang ini prinsip-prinsip Islam yang penuh prihatin telah tergugat, maka kami meminta kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri tidak mewartakan rang undang-undang ini.

Kerajaan Persekutuan perlulah menggubal rang undang-undang keluarga Islam yang baru berdasarkan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Perbincangan yang lebih luas perlu diadakan menerusi media dan secara tertutup supaya satu rang-undang-undang keluarga Islam yang lebih dinamik dan sesuai dapat dibentuk

Rakyat awam juga mempunyai hak untuk merumuskan jalan penyelesaian yang lebih adil dan saksama tentang isu ini.

Kami ingin menekankan bahawa sebagai lelaki yang beragama Islam, kami tidak mahu mengaut keuntungan daripada sistem yang mencabul hak dan maruah kaum wanita. Kami tidak mahu memperolehi layanan istimewa ini hanya kerana kami berjantina lelaki.

Kami membantah hakikat ini kerana ia sama sekali tidak adil dan tidak sejajar dengan ajaran Islam. Dalam masyarakat yang adil, lelaki dan wanita akan menikmati perhubungan yang berdasarkan prinsip saling menghormati, kesamarataan dan keadilan.

Kumpulan Lelaki Muslim Menegakkan Kesaksamaan

Aaren Azhar, pelajar

Abd. Azharyl Abd Rahman, 23, penata audio/lampu produksi

Adi Irwan Aziz, 29, jurukamera

Afif Izmier Ahmad, 19, pelajar, Perak

Amar Ihsan Ahmad, 18, pelajar, Perak

Aminullah Ali, 35, peniaga, Terengganu

Amni Amry, 35, Muslim sejak lahir, sudah 2 tahun sebagai suami penyayang

Awangku Irawan Awang Mohd Umar Ali, 24, menganggur

Danial Abdul Rahman, pelajar bidang undang-undang

Danial Ma, penyelidik

Dzulkifly Aminuddin, suami dan bapa kepada dua cahaya mata

Farid Howladar, Muslim global

Hamdan Harun, 37, pembantu pengarah

Hazri Haili, penuntut IPTA, anak, anak saudara dan cucu yang prihatin

Hirwan Zubir, pengurus pembangunan perniagaan

Husri Hj Husain, 35, pengarah

Johan Imran, pengurus

Khairul Abiddin Rehan, 32, mencari kerja dan jodoh

Mirzan Mahathir, ahli perniagaan

Mohammed Reza Sallehuddin, anak

Mohd Azmyl Md Yusof, pensyarah

Mohd Faisal Shah, 18, pelajar, Selangor

Mohd Fariz Kamaruddin, jurutera dan bakal suami

Mustafa Abdullah Sharp, suami

Nik Badli Shah Nik Abdullah, pesara perkhidmatan awam

Nik M Fahmee, bapa kepada dua cahaya mata

Rozali Ahmad, profesional perubatan, suami, bapa

Shanon Shah bin Mohd Sidik, penulis/artis

Surain Azhar, bekerja sendiri

Yusof bin A. Aziz, pesara


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS