S Kaliammal isteri sah kepada mendiang M Moorthy tidak utamakan
hak pencen, insurans kematian anggota tentera ataupun kenaikan pangkat suaminya.
Yang penting bagi beliau ialah haknya untuk mengebumikan suaminya dan biar mahkamah buat keputusan. Satu pendirian yang perlu disanjung. Dalam soal ini hak beliau yang menjadi persoalan utama bukannya percanggahan antara agama.
Malangnya apabila Moorthy masih hidup majikannya tidak nampak jasa yang telah beliau curahkan. Apabila sudah meninggal dan kematiannya menjadi kontroversi sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat minoriti baru majikannya bangun dari tidur dan memberikan beliau kenaikan pangkat "Sarjan" dan tarikh lantikannya dikebelakangkan ke bulan Jun 2005.
Ini bermakna, mendiang akan layak menerima kenaikan gaji dan bayaran pencen yang lebih tinggi berbanding dengan jawatan sebelumnya. Kemungkinan besar, tindakan ini diambil untuk meredakan kemarahan keluarga si mati dan masyarakat minoriti secara amnya. Malah ramai lagi rakyat dari pelbagai kaum dan agama yang cintakan keadilan dan hak asasi manusia mahukan keadilan diberikan kepada isteri mendiang.
Kenyataan Kaliammal yang tidak menghiraukan pemberian dalam bentuk wang membuktikan beliau mahukan keadilan.
Dalam kes ini Kaliammal tidak diberikan keadilan yang sepatutnya sekaligus ia menimbulkan persoalan tentang Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita seperti mana yang disebut dalam prinsip ke-7 Islam Hadhari yang dilancarkan Perdana Menteri tidak lama dulu.
Prinsip tersebut menegaskan kemuliaan insan diberikan kepada setiap individu tanpa diskriminasi, sama ada sebagai kumpulan majoriti atau minoriti. Hak-hak mereka dijamin oleh undang-undang negara. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal.
Oleh itu tidak sewajarnya berlaku penafian hak-hak tersebut. Penafian dan halangan ke atas hak-hak tersebut adalah salah dari segi undang-undang.
Tetapi berdasarkan apa yang berlaku dalam kes Moorthy dan kes Puan Shamala (yang kehilangan haknya untuk membesarkan dua orang anaknya apabila bekas suami beliau menukarkan agama kedua-dua anaknya tanpa pengetahuan ibu kandung - keputusan penjagaan bersyarat telah diberikan selepas bantahan) jelas membuktikan masyarakat minoriti tidak dilindungi oleh prinsip ke 7, Islam Hadhari ini.
Sangat jelas semua proses undang-undang untuk mereka yang terlibat dengan masalah status agama yang bercanggah dengan agama rasmi negara tidak mendapat keadilan yang setara dan ia dengan jelas menunjukkan prinsip Islam Hadhari hanya cantik di atas kertas tetapi tidak dari segi pengimplementasiannya.
Hak Kaliammal untuk mengebumikan mendiang suaminya mengikut adat dan agama anutannya telah dinafikan. Penafian ini sekaligus telah mencabul prinsip hak asasi manusia seperti mana yang telah ditetapkan dalam perlembagaan Malaysia.
Kalau hari ini hak Kaliammal dinafikan, esok mungkin hak kita pula dinafikan.
