Paling Popular
Terkini

Kes kuil di Seafield pada dasarnya ialah kes perebutan tanah. Ia melibatkan tuntutan pihak pemaju One City Development Sdn Bhd atas pemilikan geran dan faktor perundangan, manakala komuniti Hindu di sana pula menuntut atas pemilikan struktur bangunan dan faktor sejarah.

Meskipun penyelesaian (settlement) secara aman dilakukan melalui mahkamah, namun terdapat beberapa pecahan terhadap pihak yang menuntut.

Hal ini menyebabkan komplikasi yang pada akhirnya mengakibatkan penyelesaian mahkamah itu tidak dihormati.

Kedua-dua pihak utama dalam tuntutan kemudiannya bertindak secara keras. Pihak tertentu mengupah sekumpulan individu untuk mengosongkan kuil itu, manakala sebilangan penganut Hindu setempat pula bertindak balas dengan melakukan protes.

Oleh kerana agama adalah isu yang paling sensitif dan emosional dalam hubungan etnik di Malaysia, maka apabila jalan kekerasan digunakan, maka konflik perundangan dengan pantas boleh bertukar kepada konflik berasaskan etnik dan jenayah.

Hal ini menjelaskan mengapa terdapat beberapa orang yang diserang oleh demonstran, termasuk petugas keselamatan dan anggota bomba.

Ia menjelaskan juga mengapa puluhan kenderaan dibakar oleh demonstran. Ia adalah simbolik kepada protes, kemarahan dan tuntutan mereka.

Hal ini juga menerangkan rusuhan balas yang diadakan kemudian oleh kumpulan lain. Mereka tidak berpuas hati terhadap serangan yang telah dilakukan terhadap anggota keselamatan dan bomba,

Justeru mereka ingin menunjukkan pula kekuatan mereka secara simbolik dengan berhimpun dan berkonvoi.

Saya menggesa agar semua pihak membuat kekangan diri - khasnya dari sudut fizikal - dan balik kepada asas isu ini, ia tuntutan tanah, dan bukannya isu agama dan kaum.

Serahkan kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk menyelesaikan hal ini, jangan pula kita cuba menyelesaikannya dengan tangan sendiri untuk menunjukkan kekuatan.

Jika ini dilakukan, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan dan boleh dianggap sebagai jenayah.

Kerajaan telah mengambil langkah yang serius untuk mengawal situasi ini. Kesemua penjenayah yang terlibat akan berhadapan dengan tindakan keras undang-undang, termasuk mereka yang memukul petugas kerajaan, yang membakar kenderaan dan yang melakukan rusuhan.

Biarkan kerajaan melakukan tugas mereka dalam hal ini.

Untuk membina negara bangsa, ratusan tahun diperlukan. Tetapi untuk meruntuhkannya, cukup sehari sahaja.

Saya sekali lagi menggesa agar semua pihak mengawal diri dan perasaan walaupun hal telah menjadi isu emosional.

Pandang ia dengan objektif dan serahkan pada pihak berkuasa untuk mencari jalan penyelesaian yang adil pada semua.


DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR ialah pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS