Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Para Senator di Dewan Negara baru-baru ini 'rajin' untuk membahaskan nasib MAS yang disifatkan mengamalkan konsep boros dalam perniagaan mereka.

Jelas apa yang menarik perhatian kali ini adalah mengenai 3 gambar yang bernilai RM1.55 juta yang digantung di dalam pejabat MAS bagi menonjolkan kemegahan imej koprat mereka. Akibatnya bangunan MAS pula yang difikirkan oleh Idris Jala untuk dijual.

Mutakhir ini MAS perlu suntikan modal sebanyak RM3 billion. Jadi seandainya MAS menjual aset-asetnya dan juga bangunan mereka sekali, MAS akan mendapat RM1.5 billion dan yang selebihnya mahu diminta dari kerajaan. Begitulah terdesaknya MAS untuk bertahan.

Faktor penyumbang kerugian MAS termasuklah kos kakitangan, pengendalian dan yuran pendaratan, pesawat dan penylenggaraan dan bayaran baikpulih serta pajakan.

MAS juga mendapati bahawa daripada 79 laluan MAS ke Eropah dan Amerika Latin, hanya 33 yang membawa keuntungan.

MAS menerima tekanan selepas mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM367.7 juta bagi suku keduanya yang berakhir pada 30 Sept, tahun ini.

Kerugian itu dikaitkan terutamanya dengan harga bahan api tinggi dengan kos bahan itu meningkat sebanyak 45 peratus kepada RM1.2 bilion yang lebih tinggi berbanding RM799 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Dengan kerugian RM280.7 juta yang dilaporkan pada suku pertama, kerugian bersih bagi tempoh enam bulan pertama tempoh kewangan berjumlah RM648.4 juta.

Manakala AirAsia pula telah mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 13 peratus kepada RM11.8 juta dalam tempoh tiga bulan sehingga September lalu, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ditambah lagi AirAsia kini berjaya memiliki Airbus A320 sebanyak 60 buah di samping Boeing 737-300 sebanyak 20 buah bagi membuktikan mereka semakin mendahului MAS.

AirAsia juga dahulunya merupakan anak syarikat DRB-Hicom yang mengalami tanggungan hutang yang terlalu tinggi lalu dijual kepada Tune Air yang dipengerusikan oleh Tony Fernandez dengan harga seringgit sesaham.

Namun hasil penyusunan semula organisasi Air Asia dengan imej dan konsep yang baru membawa kepada perubahan yang besar dan memperoleh keuntungan dalam tempoh masa yang pendek. Air Asia juga berjaya merevolusikan industri penerbangan serantau.

Itulah bezanya AirAsia dan MAS. Berjayakah Idris Jala menjadi Tony Fernandez ke-2?

Selain itu, adakah kerajaan Malaysia mahu menyuntik dana kepada MAS untuk menyelamatkannya? Jelas pada perbahasan Dewan Negara mutakhir ini, para senator tidak bersetuju agar kerajaan menyuntik dana kepada MAS.

Menurut Senator Datuk Dr Chin Fook Weng: "Kita kurang setuju dengan cadangan meminjam wang kerajaan kerana rakyat akan mempersoalkan tindakan itu kerana wang itu milik rakyat dan kita tidak mahu kerajaan dituduh mengeluarkan wang membantu syarikat yang sudah rugi," katanya.

Adakah suatu hari nanti MAS terpaksa dijual?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS