Pagi Sabtu, 31 Dis lalu saya mendapat satu pengajaran berguna dari seorang seorang pakcik berbangsa Cina ketika berada di bank.
Saya fikirkan usianya sudah lanjut pastinya hanya duduk rumah dengan wang pencen atau wang simpanan. Sangkaan saya meleset, pakcik tadi memberitahu umurnya 66 tahun, dan masih bekerja di sebuah kilang di Senawang. Dia telah bekerja di kilang yang sama sejak 30 tahun yang lalu sebagai mesin operator.
Lalu saya bertanya mengenai keluarga beliau. Pakcik tadi mempunyai empat orang anak lelaki, semuanya mendapat pendidikan di kolej dan universiti dan telah bekerja dalam bidang professional. Tiga orang anak lelakinya bekerja di Kuala Lumpur, sementara seorang yang telah berkahwin bekerja di Senawang.
Nombor giliran masih lama, saya menunjukkan nombor giliran saya, nombor gilirannya ialah 88, saya mengusik pakcik tadi nombor 88 ramai yang suka. Pakcik tadi terus berkata dia tak main nombor-nombor.
Puas saya fikir nombor apa, rupanya pakcik tadi katakan beliau tidak pernah bermain nombor ekor atau berjudi. Malu rasanya bila pakcik Cina yang beragama Buddha tadi berkata beliau begitu benci dengan judi nombor ekor, walhal ramai orang Melayu yang ketagih melanggani nombor ekor.
Menurut Pakcik tadi, main judi tak akan jadi kaya. Dengan sikapnya yang berjimat cermat hanya sebagai mesin operator dan menggunakan motosikal yang sama sejak 30 tahun lalu beliau dapat membesarkan empat orang anaknya menjadi orang yang berjaya.
Malah menurut Pakcik tadi semua anaknya tidak berjudi, tidak suka minum arak dan tidak menghisap rokok. Lalu saya berkata dalam hati saya macamana saya hendak menerangkan kepada pakcik ini kebaikan agama Islam jika perangai orang Islam terutamanya orang Melayu lebih teruk daripada perangai orang bukan Islam.
Malah apa yang begitu menyentuh perasaan saya ialah apabila pakcik tadi kata ketiga-tiga anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur akan pulang menziarahi ibu bapanya di Senawang setiap hujung minggu. Sedangkan anak-anak Melayu kita yang bekerja di Kuala Lumpur ada yang balik menziarahi ibu bapa mereka hanya apabila menyambut Hari Raya.
Kemudian pakcik tadi bercerita lagi beliau tidak menghisap rokok dan anak-anaknya juga mengikuti jejaknya.
Pakcik tadi telah berjaya mendidik anaknya tidak menghisap rokok tanpa perlu berbelanja berjuta-juta ringgit untuk Kempen Tak Nak Rokok.
