Saya terpanggil untuk menulis di dalam ruangan ini bagi berkongsi pendapat mengenai situasi sebenar UiTM pada hari ini. Hal ini kerana ia amat penting demi kemaslahatan bangsa Melayu sendiri.
Mengenai peranan UiTM, sememangnya tidak dapat dinafikan ia sebagai gedung untuk anak-anak bangsa Melayu mendapat pendidikan tinggi. Memang tidak dapat disangkal peranan UiTM yang memperjuang dan memartabatkan kaum Melayu serta mengimbang kedudukan kaum Melayu di negara ini.
UiTM juga boleh dilihat sebagai penyelamat maruah bangsa. Sejarah telah membuktikan UiTM menghasilkan pelajar yang cemerlang terutama dalam banyak bidang malah terdapat rekod yang menunjukkan permintaan tinggi terhadap graduan UiTM dalam pasaran kerja.
Setelah mencapai status universiti, UiTM bergerak dengan pantas dan bersaing dengan institusi pengajian tinggi yang lain. Kejayaan demi kejayaan diraih oleh universiti ini dalam menunjukkan kewibawaan sebagai universiti yang sedang menuju status berkelas dunia.
Namun, dalam usaha mengejar status universiti berkelas dunia, UiTM juga sedang rancak mencapai matlamat bagi menambah jumlah pelajar dengan sasaran 200 ribu orang menjelang 2010. Keputusan ini diambil sebaik sahaja Perhimpunan Agung UMNO ke-56 pada 19 hingga 23 Julai 2005 lalu, selepas para pemimpin politik begitu lantang memperkatakan agenda Melayu.
Hakikatnya, pada hari ini UiTM bolehlah dikatakan pusat longgokkan pelajar Melayu. Realitinya, sasaran untuk mencapai 200 ribu adalah tidak wajar sekiranya semua pihak ikhlas dalam memperjuangkan agenda Melayu. Sebenarnya terlalu banyak lompang yang perlu dibaiki oleh pihak UiTM sebelum menyahut cabaran tersebut.
Dalam menyahut sasaran tersebut, peluang kemasukkan ke UiTM menjadi sangat mudah, jangan terkejut jika keputusan SPM dan STPM yang teruk pun berpeluang memasuki UiTM malah graduan lepasan Diploma dengan keputusan "CGPA" yang memalukan pun boleh menyambung terus pengajian Ijazah.
Hal ini terjadi pada kemasukkan Disember yang lalu. Pihak pentadbiran tidak perulah menafikan perkara ini kepada umum kerana kami sebagai pelajar sememangnya peka apatah lagi perkara ini berlaku terhadap rakan-rakan kami sendiri.
Sebenarnya, kami sebagai pelajar UiTM mempunyai masalah yang mana tidak diketahui umum. Bukan niat membuka pekung aib tempat pencarian ilmu sendiri tetapi perkara ini terpaksa didedahkan agar semua pihak dapat membantu kami sebagai pewaris bangsa. Soalnya di sini kenapa Naib Canselor Universiti begitu beria-ia menyahut sasaran 200 ribu sedangkan kepincangan universiti tidak diperbaiki?
Apa matlamat UiTM sebenar? Di kampus Shah Alam kami sebagai pelajar masih kekurangan tenaga pengajar yang terlatih, sistem kelas yang tidak teratur, kemudahan kolej yang tidak mencukupi, suasana pembelajaran yang tidak kondusif malah beberapa Fakulti seperti Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Perancangan Ukur dan Seni Persembahan menggunakan 80 peratus bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Tugasan para pelajar fakulti ini pun dibuat dalam bahasa Melayu. Inilah antara berapa sebab mengapa graduan UITM tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Namun tidak dinafikan penggunaan bahasa Inggeris bagi graduan-graduan dari fakulti seperti Komunikasi & Pengajian Media, Undang-Undang dan lain-lain adalah sangat baik dan memberangsangkan. Tetapi bagaimana dengan rakan-rakan di FSSR, FSP dan FSSPU? Mengapa perkara ini tidak diperbaiki?
Mendepani realiti baru dunia, arus sosial bergerak dengan pantas sekali, universiti ini tidak lari dari menghadapi masalah sosial yang teruk tetapi disembuyikan secara baik oleh pihak universiti antaranya bersekududukan menjadi satu amalan biasa, masalah golongan pondan yang bertindak ingin meliwat siswa begitu rancak di Kolej Jati, masalah ganja, kecurian dan pelbagai lagi.
Kenapakah masalah ini tidak diatasi dengan baik jika semua pihak ikhlas ingin membantu dan memperkukuhkan agenda Melayu? Ia akan menjadi pengaruh utama kepada kerosakan anak-anak Melayu.
Kami begitu hairan, mengapa setiap kali program yang dianjurkan oleh pihak universiti banyak menjurus kepada hiburan dan keseronakkan. Kami juga dahagakan program-program yang mencambahkan paradigma dan berkonsepkan Islam Hadhari. Justeru, kami percaya kepada kepimpimpinan baru Majlis Perwakilan Pelajar, Jawatankuasa Perwakilan Kolej, badan-badan Persatuan agar lebih optimis terhadap memperkasakan siswa-siswi Melayu UiTM yang sebenar.
Kami menyarankan agar Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia memperbanyakkan pusat-pusat kemahiran dan bukannya menjadikan UiTM sebagai tempat longgokkan anak bangsa Melayu.
Hal ini sangat penting demi kemaslahatan anak-anak Melayu di UiTM dan status universiti oleh UiTM sendiri. Kami bukan menidakkan hak rakan-rakan yang lain tetapi agenda Melayu bukan sekadar memberi peluang pendidikan tinggi semata-mata.
Implikasi daripada pembinaan pusat-pusat kemahiran ini akan membantu anak-anak bangsa dalam bidang kemahiran memandangkan bilagan pengganguran di kalangan siswazah adalah ramai.
Akhir kata, kami merayu kepada pihak UiTM agar melihat semula dasar ini. Apa sebenarnya yang dikejar UiTM, sasaran 200 ribu menjelang 2010 atau visi berstatus dunia? Jangan sampai "anak di rumah mati keperitan".
Kami juga berharap agar pihak UiTM perlu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi bukannya asyik menabur janji dan sibuk memperkatakan kejayaan-kejayaan seperti yang sering dilakukan oleh Naib Canselor sedangkan banyak masalah yang disembunyikan.
Kami di sini ingin meminta maaf kepada semua pihak seandainya tulisan ini menimbulkan spekulasi yang tidak baik. Kami bersyukur kepada Allah (S.W.T), pihak Kerajaan dan UiTM kerana memberi peluang kepada kami untuk menimba ilmu di UiTM.
Kami cuma berharap dapat menuntut ilmu dengan kondunsif dan mendapat kerberkatan. Semoga ada jalan yang terbaik terhadap memperkasakan anak-anak Melayu seperti kami demi melestarikan Melayu yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
