Paling Popular
Terkini

Seawal pagi semalam saya mendapat khabar berita tular seorang 'kafir harbi DAP' akan dilantik sebagai ahli lembaga pemegang amanah (ALPA) YADIM. Dibelek dan dilihat nama, sah saya kenal batang tubuh ini. Sahabat saya dari kecil.

Dan sesungguhnya saya agak sedih dan terkilan melihat cemuhan kepada insan ini hanya kerana dia seorang ahli DAP.

Ada yang mengenalinya sebagai YB atau Bro Shake atau Umar, tapi saya memanggilnya Sheikh Bagareb @ Bugs.

Bagi saya, tak timbul bahawa Bagareb ini boneka siapa dan siapa. Saya mengenali beliau, dia ada prinsip. Itu jawapan yang boleh saya beri bila ada yang bertanya.

Sebab itu saya hormat dia setelah kenal dia sekian lama. Mula mengenali sejak zaman sekolah menengah, lebih tepat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat (SMKAS). Kami satu tim Badar. Di SMKAS lagi Bagareb aktif dalam usrah dan memberi tazkirah.

Bayangkan, di tingkatan 1, tim tegar berani ke depan memberi tazkirah selepas asar dan maghrib, Bagareb pasti ke depan. Tak ramai yang berani, tapi mamat ini jarang menolak kalau ada peluang.

Sama ada memberi tazkirah atau mengendalikan aktiviti, Syeikh @ Bagareb pasti on selalu.

Dia ini sangat aktif dalam program surau dan keagamaan, sehinggalah ketika di tingkatan 5, dia dilantik sebagai pengerusi Badar ketika itu.

Saya masih ingat ada satu ketika di tingkatan 1, selepas waktu asar, saya dan dia berpandangan siapa nak bagi tazkirah, sebab saya tiada bahan. Syeikh bangun dan membaca satu artikel dalam bahasa Inggeris yang dinukil oleh Syed Hawwa.

'Gempak' juga masa itu, manalah mamat ini baca kitab dalam bahasa Inggeris buat bahan beri tazkirah. Rupanya ia adalah satu makalah pemberian abangnya yang terlibat dengan usrah di UK.

Satu lagi kelebihan, beliau peminat dan terlibat secara tegar dengan dunia nasyid sejak sekolah. Baik dari main perkusi hinggalah menyanyi. Memang dia orang seni. Beliau mewakili tim Nada fitrah - team nasyid SMKA Segamat.

Sheikh juga terkenal. Bila ada apa-apa acara atau musim peperiksaan, dialah tukang pimpin bacaan doa wahdah untuk para pelajar.

Kenangan di Kelantan

Saya pindah KISAS tingkatan 4 dan 5, tentu saya tak dapat ikuti dengan rapat perkembangan Sheikh dan 'tim dakwah' beliau di SMKAS dalam dua tahun ini. Tapi bila mana saya sekali-sekala menziarahi SMKAS masa cuti, pasti kami akan berbual dan berbincang tentang perkembangan dakwah di sekolah.

Sheikh begitu komited. Dia percaya, sekolah SMKA Segamat yang masih beliau diami adalah bumi tarbiyah yang mesti dipelihara. Dan apa jua terjadi dia mesti ada dalam saat-saat pentarbiahan itu.

Takdir Allah, kami bersua kembali dan menjadi rakan sepengajian di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Nilam puri Kelantan dalam pengajian asasi. Di Kelantan, menghadiri kuliah dhuha mingguan Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) dekat Dataran Zulkifli, Kota Bharu adalah satu kemestian. Lepas itu, rutin kami ialah membelek dan membeli kitab-kitab di Jaafar Rawas.

Di Kelantan jugalah, Sheikh dan kami semua mengambil peluang menziarahi murabbi-murabbi. Bertemu almarhum Ustaz Yahya Othman, murabbi tarbiaah PAS adalah kemestian untuk mengukuh fikrah perjuangan ketika itu.

Di Nilam Puri juga, Sheikh mula aktif dengan aktiviti tarbiaah. Bila cuti, masa dihabiskan menyertai tamrin, rehlah dan daurah. Menjelang semesta kedua, beliau pula mengendalikan aktiviti-aktiviti ini untuk generasi junior.

Sheikh juga aktif dalam aktiviti berpersatuan sejak Nilam Puri. Dia jadi timbalan presiden majlis perwakilan pelajar (MPP) pada ketika itu.

Selesai di asasi, kami ke Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Saya ambil pengkhususan syariah undang-undang, Sheikh ambil pengajian usuluddin. Walau berbeza pengajian khusus, namun kerana aktif dalam Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya, kami tetap bersama dalam banyak hal dan aktiviti.

UM terkenal dengan dunia aktivisme mahasiswa. Bergerak sebagai kader dakwah PMI pada tahun pertama di KL, beliau sudah dilantik menjadi SUK PMIUM dan orang kanan kepada presiden ketika itu, Sdr Nazree Yunus yang sekarang ini merupakan naib AMK Pusat.

Beliau cukup komited dengan kerja-kerja dakwah dan perkaderan. Pada masa sama, begitu cekap mengemudi siyasi. Tak hairanlah, tahun kedua UM, beliau diberi amanah kepimpinan mempengerusikan jawatankuasa kenegaraan dan patriotisme PMIUM.

Bahkan, beliau turut aktif mengatur cara jaringan aktivis mahasiswa Islam di peringkat nasional sehingga diamanahkan mengepalai majlis politik kampus Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis). Jika diimbas kembali aksi, demonstrasi dan seminar mahasiswa Islam Gamis sekitar 2005-2007, pastilah orang berkata "Sheikhlah kepalanya".

SMM garang

Keberanian dan ketajaman membaca politik dan isu bagi saya adalah satu anugerah buat sahabat saya ini. Lantaran itu, beliau bijak merencana gerakan dan pantas memposisi gerakan mahasiswa Islam sehingga di luar lingkungan 'kemahasiswaan Islam' semata-mata.

Kerana itu, beliau juga telah diberi amanah oleh rakan-rakan aktivis mahasiswa pelbagai kaum dan aliran yang wujud pada ketika itu untuk mempengerusikan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

SMM begitu 'garang' dan 'in' di kalangan dunia aktivisme mahasiswa. Dengan isu seperti manipulasi sistem pilihan raya kampus, autonomi universiti dan kebebasan akademik misalnya, Sheikh pasti akan berada di hadapan. Cari saja nama beliau dan Solidariti Mahasiswa Malaysia di Internet, pasti liputan cerita yang muncul dapat menghuraikan segalanya.

Namun asas tarbawi beliau tidak terhakis. Beliau terus aktif dengan program kaderisasi dan tarbawi meskipun sudah meninggalkan alam kampus. Saat rakan-rakan mula membina kehidupan pasca alam universiti, beliau masih ulang alik ke universiti menjalankan usrah, daurah, rehlah dan tamrin.

Pantang duduk diam, ada sahaja aktiviti tarbiyah dan dakwah Sheikh ingin terokai. Saya ingat seringkali di hubungi untuk beberapa aktiviti di Johor dan di SMKAS.

Ketika rakan rakan lain memulakan alam pekerjaan, perkahwinan, beliau berkahwin dengan dakwah. Apa sahaja cara dan kaedah yang boleh, beliau pasti on.

Terlalu banyak untuk saya ceritakan jika ingin diungkap siapakah Sheikh si 'kafir harbi' sepertimana tohmahan berbaur kebencian sesetengah pihak sejak pagi semalam sebaik sahaja nama beliau muncul sebagai bakal ALPA YADIM ini.

Ini belum lagi mengulas komitmen beliau dalam gerakan mahasiswa islam anak negeri, apatah lagi zaman beliau mengabdi diri sebagai murobitun PAS satu ketika dahulu.

Cukuplah dengan sebahagian perkongsian saya ini, sebagai amanah yang saya rasa perlu saya kisahkan demi memberikan keadilan sewajarnya pada menjustifikasi siapakah Sheikh yang saya kenali sebagai seorang sahabat sejak zaman persekolahan sehingga kini.

Bagi saya, Sheikh bukan boneka sesiapa. Beliau adalah seorang yang berprinsip dan beliau tahu bagaimana memposisi diri untuk menegakkan fikrah Islam dalam kerencaman politik serta realiti ummah pada hari ini.

Jika kita berada pada posisi beliau...

Mungkin beliau masih muda, melawan arus norma biasa politik Melayu Islam dan dianggap mentah oleh sesetengah pihak, namun untuk mencemuh beliau dengan istilah-istilah jijik, bagi saya amat buruk sama sekali. Saya yakin, he knows his business.

Bagi saya, jika kita berada pada posisi beliau, belum tentu amanah berat yang dipikul mampu kita pertahankan.

Apapun, sebagai seorang sahabat, saya mendoakan beliau tabah dan terus teguh berjuang. 

Di samping isteri beliau, seorang graduan Darul Quran dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan yang sangat memahami perjuangan beliau hingga ke saat ini, pastilah segala bentuk ujian dan tohmahan tidak akan melemahkan.

Ia bahkan menjadi pemangkin untuk terus bersemangat menempuh hari-hari mendatang apatah lagi dalam era Malaysia baru kini.


HAFIZ ROSLAN ialah rakan sekolah dan seuniversiti Sheikh Umar Baharib Ali dan masih berkawan sehingga kini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS