Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tragedi Nyonya Tahir, 89 tahun, yang Mahkamah Tinggi Syariah Seremban terpaksa memutuskan bahawa ia bukan lagi orang Islam merupakan satu lagi petunjuk Allah bahawa Islam dan umat akan pasti terancam sekira nya pewaris-pewaris ajaran Rasulullah diabaikan. Berapa puluh, ribu atau puluhan ribu lagi 'Nyonya Tahir' yang ada di Malaysia, negara Islam ini?

Ini tidak termasuk lagi orang-orang Islam sendiri yang hidup bersekedudukan dengan bukan Islam hingga beranak pinak atau wanita atau lelaki Islam yang bersuamikan atau beristerikan bukan Islam secara Islam tetapi tidak hidup cara Islam. Di samping itu terdapat juga orang Islam sendiri yang menganuti kepercayaan-kepercayaan China seperti 'feng shui', nombor-nombor bertuah sepertu '88' dan sebagainya. Ini tidak temasuk ribuan orang Melayu yang telahpun masuk Kristian atau menganuti ajaran-ajaran sesat.

Sebaliknya terdapat ramai pula bukan Islam yang masuk Islam dan benar-benar hidup sebagai orang Islam malah menjadi pandakwah atau pejuang Islam. Kita semua tahu bahawa umat Islam biasa yang saban hari bergelut dengan hidup seharian akan menjadi orang Islam yang baik kalau mereka sentiasa mendapat pimpinan, jagaan dan perlindunga.

Di saat ini, seluruh umat Islam di Malaysia perlu bertanya kepada semua pemimpin kita di semua bidang baik politik, agama, pendidikan mahupun di bidang media dan juga hiburan, adakah tindakan-tindakan mereka sekarang akan menjadikan kita orang Islam yang lebih baik, lebih bertaqwa dan lebih berakhlak baik?

Siasatan patut dibuat kenapa Nyonya Tahir menjadi begitu. Siapakah yang gagal dalam tugas bagi mempastikan beliau sebagai orang Melayu tidak tergelincir dari landasan Islam? Menurut cerita anak-anaknya, bila emaknya meninggal waktu ia masih kecil, Nyonya Tahir diasuh oleh neneknya yang bersuamikan seorang muallaf Cina yang kembali ke agama Buddhanya lepas masuk Islam dan neneknya juga ikut sama. telah meningkat remaja, Nyonya Tahir yang memang sudah pun diasuh sebagai anak Cina, dinikahkan pula dengan lelaki Cina yang walaupun masuk Islam tetapi terus hidup sebagai penganut Buddha.

Di sini ternyata pemantauan pihak Jabatan Agama Islam terhadap 'saudara baru' amat longgar. Ternyata suami neneknya dan suaminya sendiri masuk Islam semata-mata kerana hendak berkahwin dengan orang Melayu dan mungkin juga kerana kepentingan ekonomi. Paling menarik sekali dalam tahun 1986, Pejabat Agama Alor Gajah boleh membenarkan permohonan Nyonya Tahir untuk mengisytiharkan dirinya keluar dari Islam dan Nyonya Tahir kemudian menguatkan lagi perisytiharkannya dengan surat sumpah di pejabat peguam.

Dengan dokumen-dokumen ini maka Mahkamah Tinggi Syariah Seremban tidak ada jalan lain lagi melainkan mengesahkan yang Nyonya Tahir memang bukan lagi Islam di waktu kematiannya dan dia dibenarkan disemadikan mengikut adat agama Buddha.

Kes Nyonya Tahir ini boleh mencetuskan pelbagai soal lain termasuk peruntukan Perlembagaan Malaysia yang tetap mengiktirafkan bahawa seseorang berketurunan Melayu itu adalah dikira ia Islam. Sebab itulah usaha Nyonya Tahir hendak menukar jenis agama pada kad pengenalannya kepada agama Buddha tidak benarkan. Jadi bagaimana dengan Kamariah Ali, lulusan Al Azhar, yang sedang berulang alik dari Mahkamah Sibil ke Mahkamah Syariah meminta diisytiharkan dia bukan lagi orang Islam?

Kalau tidak ditangani segera saya meramalkan pentadbiran agama Islam akan menjadi lebih kelam-kabut di masa-masa akan datang. Saya ingin mengesyorkan agar kerajaan pusat menyerahkan balik pentadbiran agama Islam kepada Raja-Raja Melayu dan Gabenor Melaka dan Pulau Pinang. Hanya pentadbiran di peringkat negeri yang benar-benar berkesan. Tetapi pihak negeri perlukan kewangan yang besar untuk mengambil lebih ramai pegawai dan hakim-hakim. Wang zakat Petronas, PNB, Tabung dan lain-lain boleh difikirkan malah cukai khas ke atas semua umat Islam juga boleh difikirkan.

Akhir sekali saya juga ingin mencadangkan bahawa seluruh umat mestilah memahami dan menghayati Surah All Kafirun ('Untukmu agamamu dan untukku agamaku') dengan sebenar-benarnya dalam urusan seharian kita dengan orang-orang bukan Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS