Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
'MTEN ditubuhkan bagi tangani isu kos sara hidup'

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) adalah satu strategik yang sangat afirmatif untuk meneliti secara keseluruhan isu-isu ekonomi dengan pakar-pakar dalam bidang ekonomi, perancangan ekonomi serta menteri yang terlibat secara langsung untuk mengemudi ekonomi negara menghadapi pelbagai cabaran.

Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi adalah bidang luas dengan perlu dorongan, gandingan pakar-pakar ekonomi khususnya dari kalangan akademik yang berpengalaman.

Sudah tentu kementerian itu tidak mampu diuruskan oleh seorang menteri dengan pelbagai agensi dibawah seperti jabatan, syarikat kerajaan/syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun, yayasan, perbadanan kemajuan ekonomi negeri yang merangkumi 32 agensi yang melibatkan ekonomi negara secara langsung.

Ia memerlukan satu pasukan anggota pakar ekonomi yang elit dari pelbagai sektor dan industri yang sememangnya mahir dalam bidang ekonomi untuk selaraskan agenda utama penubuhan MTEN yang diketuai oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

MTEN adalah badan bertindak untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat, matlamat seterusnya adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, pengagihan kekayaan yang saksama (equal wealth distribution), serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ia juga meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, sumber tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah. 

Kos sara hidup

Pakatan Harapan (PH) telah menubuhkan kerajaan persekutuan hampir sembilan bulan namun, rungutan rakyat terhadap isu kos sara hidup masih lagi tidak terjawab seperti dijanjikan dalam manifesto PH dalam PRU14.

Isu kos harga barang, kos rumah dan kos pendidikan pelajar di institusi – institusi pendidikan tinggi awam mahupun swasta (IPTA/ IPTS), isu PTPTN masih dalam tahap zon tidak stabil.

Berikutan adalah isu yang sangat berkait rapat dengan rakyat secara langsung dalam aktiviti harian yang perlu dilihat lebih terperinci dan mendalam untuk meringankan beban rakyat.

Dalam pelaksanaan cukai SST mengantikan cukai GST, rakyat menaruh harapan yang tinggi untuk melihat perubahan positif dalam kos sara hidup dengan harga barangan akan menurun.

Namun, rakyat masih beban dengan kos sara hidup khususnya harga barangan asas yang melambung. Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, harga purata produk pengguna (Consumer Price Index, CPI) telah meningkat 0.4 peratus bulanan jika dibandingkan dengan bulan Ogos 2018.

Kadar CPI dari bulan Januari sehingga September 2018 telah mencatat peningkatan sebanyak 1.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Tiga fokus utama belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh kerajaan adalah melaksanakan reformasi institusi, kedua memastikan kesejahteraan rakyat dan ketiga memupuk budaya negara keusahawanan.

Walaupun kerajaan meneruskan dan penambahbaikan dalam Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan B40, skim-skim seperti program e-kasih, meperkenalkan skim I-suri (KWSP), memberi subsidi minyak, subsidi bil elektrik, bantuan one-off kepada pesara.

Gaji minimum RM1,100, manifesto PH – RM1,500. Akan tetapi, rakyat berkemampuan rendah atau golongan B40 masih sukar menjalani kehidupan seharian.

Menangani isu kemiskinan dan masalah kewangan kumpulan B40 juga akan meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan rakyat.

Oleh itu, MTEN haruslah menjadi pasukan eksklusif bersama pakar-pakar ekonomi dan menteri-menteri/ kementerian yang berkaitan secara langsung dalam hal ehwal ekonomi.

Mohon juga Perdana Menteri selaku pengerusi MTE juga harus pertimbangkan kedudukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam MTEN kerana kementerian tersebut juga adalah penggubal dasar, strategi dan mengkaji perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan perdagangan dalam negeri, khususnya dalam Sektor Perdagangan Pengedaran dan Kepenggunaan.

Sektor perdagangan pengedaran adalah antara penyumbang utama KDNK Negara dan ia bertindak sebagai benteng kestabilan ekonomi, terutama semasa situasi ekonomi luaran berada di dalam keadaan ketidak tentuan.

Perdagangan pengedaran perlu kukuh bagi menampan sebarang ketidak stabilan dalam ekonomi negara.


R YUNESWARAN merupakan ketua Pemuda PKR Johor.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Lihat Komen
ADS