Paling Popular
Terkini

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan penghargaan buat Pengerusi Gerakan Reformasi IPT merangkap Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia, Usaid Usmadi, atas pandangan kritis beliau mengenai Jawatankuasa Pembentukan Kesatuan Pelajar (KP) IPT.

Pada dasarnya, Jawatankuasa Pembentukan KPIPT ditubuhkan pada Jan 2019 oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).

Umumnya, jawatankuasa ini bertanggungjawab membantu dan memberikan khidmat nasihat kepada KPM berkaitan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan KPIPT.

Jawatankuasa ini juga merupakan kumpulan pemikir (think tank) untuk mengenal pasti isu-isu luaran dan dalaman yang mempengaruhi KPIPT serta menganalisis perkembangan semasa yang berkaitan dengan pembentukan KPIPT.

Secara operasinya, universiti memainkan peranan melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar bagi pengumpulan suara dan pandangan.

Tempoh bagi merangka struktur KPIPT bermula sejak Okt 2018 menerusi sesi libat urus bersama pelajar dan warga IPT termasuklah universiti awam, IPT swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti bagi mendapatkan pandangan dan input mengenai pembentukan KPIPT masing-masing.

Matlamat utama sesi libat urus ini ialah bagi memastikan input dan pandangan setiap mahasiswa diperoleh.

Pelbagai idea struktur KP diterima dan ianya rencam mengikut falsafah penubuhan universiti masing-masing.

Galakkan sikap proaktif

Di samping itu, KPM juga turun padang bagi mengikuti sesi townhall dan bengkel anjuran universiti dengan mendengar pembentangan pelajar tentang struktur KP yang dihasratkan oleh mereka.

Aktiviti turun padang ini akan diteruskan sehingga pembentukan KP terlaksana.

KPM juga tidak mengetepikan suara dan pandangan majlis perwakilan pelajar (MPP) sebagai barisan hadapan yang sah dan diiktiraf.

Pertemuan diadakan bersama Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) melalui beberapa siri perkongsian idea untuk pembentukan KP.

Malah, terdapat juga pertubuhan pelajar yang mengambil inisiatif sendiri dengan menganjurkan program pencambahan idea dan solusi ke atas KP serta akta pendidikan baru seperti National Students Leadership Conference anjuran Higher Education Youth Association pada 3 hingga 5 Mei 2019 lalu.

Menyokong program tersebut, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTS), JPT, Pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa, JPT dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaya turut hadir semasa majlis penutup.

KPM amat menggalakkan mana-mana pertubuhan pelajar untuk mengambil inisiatif proaktif dalam sesi diskusi pembentukan KP.

Berhubung keahlian Jawatankuasa Pembentukan KPIPT, nama yang dipilih adalah berdasarkan beberapa justifikasi termasuklah kepakaran dalam bidang perundangan, berpengalaman mengendalikan pembangunan pelajar dan bergelar aktivitis pelajar.

Jawatankuasa ini akan melihat dari perspektif big picture agar pembentukan KP kelak bersifat inklusif dan komprehensif.

KPM amat berbesar hati akan pandangan bahawa keahlian jawatankuasa ini wajar terdiri daripada kalangan pelajar. Perkara ini akan dibincangkan bagi mendapatkan keputusan terbaik kepada semua pihak.

Namun, kekangan ini tidak menjadi halangan untuk pelajar mengambil inisiatif sendiri dalam menggerakkan diskusi pembentukan KP.

KPM amat meraikan idea dan menyantuni suara kesemua 1.3 juta pelajar dalam membentuk polisi baru pendidikan negara.

Segala pandangan pelajar diterima secara rantaian komunikasi bottom-up yang diselaraskan di peringkat universiti seterusnya ke peringkat KPM.

Rumusnya, KPM yakin bahawa suara dan idealisme pelajar akan menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara yang dinamik dan berimpak tinggi.


Kenyataan ini dikeluarkan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS